Ibu atau ijazah di UPM ? Ujian berat Amalia di semester akhir

Ibu atau Ijazah? Ujian berat Amalia di semester akhir

Amalia Qasdina Kamal Azrul bersama ibu, Norhaliza Khalily dan bapa Kamal Azrul Abd. Manaf pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49, di Serdang, Selangor baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di saat rakan-rakan lain sibuk menyiapkan tugasan akhir semester, seorang graduan Universiti Putra Malaysia (UPM), Amalia Qasdina Kamal Azrul, 25, berdepan ujian paling berat dalam hidupnya apabila perlu memilih antara berada di sisi ibunya, Norhaliza Khalily, 48, yang diserang strok atau mengutamakan pengajian yang sudah hampir ke penghujung.

Anak sulung daripada lima beradik itu, yang merupakan graduan Bacelor Pendidikan dalam Pendidikan Jasmani dengan Kepujian, Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), UPM, berkongsi bahawa beliau hampir berputus asa apabila ibunya disahkan mengalami minor stroke ketika keluarga sedang menyambut Aidiladha.

Kejadian itu berlaku ketika Amalia berada di tahun ketiga pengajian, sekali gus mengubah rutin hariannya sebagai seorang pelajar kepada tanggungjawab besar menjaga ibu di hospital.

“Pada waktu rakan-rakan lain menyiapkan tugasan akhir semester, saya terpaksa meninggalkan kuliah selama seminggu untuk menjaga ibu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kemudian di pusat rehabilitasi. Dalam masa sama, saya tetap perlu menyiapkan tugasan serta projek tahun akhir,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49, di Serdang, Selangor.

Amalia berkata, sepanjang tempoh itu, beliau dan kembarnya menyusun jadual secara bergilir-gilir untuk menjaga ibu, manakala ayahnya, Kamal Azrul Abd Manaf, 48, dan adik-adik datang melawat setiap minggu.

“Tekanan pada waktu itu memang sangat berat. Saya beberapa kali terfikir untuk berhenti belajar kerana tidak hadir ke kelas selama seminggu dan perlu mengejar tugasan kuliah dalam keadaan emosi yang tidak stabil,” ujarnya.

Beliau mengakui pada satu tahap, dirinya seolah-olah langsung tidak mampu mengimbangi tuntutan akademik dengan keperluan ibu yang memerlukan perhatian sepenuhnya.

Namun, di saat hampir tersungkur, hadir sokongan daripada pensyarah dan rakan-rakan yang menjadi ‘talian hayat’ untuknya terus bertahan.

“Pensyarah minta saya fokus pada ibu dahulu dan mereka membantu saya dengan berkongsi bahan pembelajaran yang tertinggal. Tanpa sokongan itu, saya mungkin tidak mampu bertahan,” katanya.

Amalia berkata, keprihatinan warga fakulti yang memberi kelonggaran, berkongsi nota serta memahami keadaannya membuatkan beliau sedar bahawa dirinya tidak melalui ujian itu seorang diri.

“Pada saat saya rasa dunia seakan runtuh, saya belajar bahawa masih ada tangan-tangan yang mengangkat saya kembali,” jelasnya.

Dia turut berpesan kepada pelajar lain yang sedang berdepan situasi hampir sama supaya tidak berputus asa dan tidak takut untuk meminta bantuan apabila diperlukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN