Hampir 90 peratus majikan tawar kenaikan gaji

Hampir 90 peratus majikan tawar kenaikan gaji

LEBIH 80 peratus syarikat memberikan bonus kepada pekerja pada 2025 - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hampir 90 peratus majikan menawarkan kenaikan gaji eksekutif dan bukan eksekutif, sekali gus mencerminkan keyakinan majikan terhadap prospek perniagaan, menurut Hasil Kajian Gaji Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) bagi 2025.

Ini melibatkan sebanyak 5.03 peratus bagi eksekutif dan 4.65 peratus bagi bukan eksekutif berdasarkan 266 syarikat yang merangkumi sektor pembuatan dan bukan pembuatan dengan data komprehensif membabitkan 13,082 eksekutif dan 27,017 bukan eksekutif.

Presiden MEF, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, penerbitan edisi 2025 itu mengekalkan kedudukan sebagai rujukan gaji paling berautoriti di pasaran.

“Penerbitan ini terus menjadi rujukan utama majikan dan pembuat dasar berdasarkan data yang membantu perancangan strategik tenaga kerja,” katanya kepada media selepas pelancaran empat penerbitan kajian MEF, di sini, semalam.

Dalam kajian MEF, prestasi terus menjadi faktor penentu utama kenaikan gaji, dengan 89.4 peratus majikan memberi penekanan terhadap prestasi bagi eksekutif, diikuti keupayaan syarikat untuk membayar (66.2 peratus) dan amalan kajian semakan tahunan (58.3 peratus).

Bagi bukan eksekutif, faktor prestasi menyumbang 81.8 peratus, diikuti keupayaan membayar 58.9 peratus.

Kajian mendapati majikan turut mempertimbangkan kadar pasaran, keuntungan serta tahap produktiviti dalam menentukan semakan gaji.

Ini menggambarkan penekanan terhadap imbangan antara daya saing pasaran dan prestasi dalaman syarikat.

Laporan tersebut mendedahkan, lebih 80 peratus syarikat memberikan bonus kepada pekerja pada 2025, menandakan keyakinan berterusan terhadap prestasi organisasi serta usaha untuk mengekalkan bakat.

Ini melibatkan purata bonus sebanyak sebanyak 2.17 bulan bagi eksekutif dan 1.96 bulan bagi bukan eksekutif.

Prestasi syarikat dan individu turut menjadi asas utama penentuan bonus, dengan keputusan pemberian bonus dipacu oleh produktiviti serta pencapaian organisasi.

Pelancaran kajian gaji turut disertakan dengan penerbitan Kajian Faedah Perubatan MEF 2025 yang mengumpulkan 231 syarikat, membabitkan 64.9 peratus sektor bukan pembuatan dan 35.1 peratus sektor pembuatan.

Selain itu, dalam laporan tersebut, turut menunjukkan majoriti majikan menyediakan manfaat kesihatan asas seperti rawatan pesakit luar (95.2 peratus) dan perlindungan hospital (88.8 peratus).

Sebanyak 71.6 peratus syarikat juga menanggung kos rawatan pesakit luar dengan had tertentu, manakala 84 peratus perlindungan rawatan hospital disediakan melalui insurans perubatan.

Kajian juga menyaksikan sebanyak 68 peratus syarikat menjangkakan peningkatan kos perubatan tahun depan dan langkah kawalan kos dijalankan melalui inisiatif kesedaran kesihatan (70.7 peratus) serta program pencegahan (58.5 peratus).

Kajian turut mengenal pasti isu kesihatan mental sebagai cabaran utama di tempat kerja dengan tekanan untuk memenuhi sasaran (74 peratus), isu peribadi dan keluarga (59.7 peratus) serta ‘burnout’ (51.9 peratus) menjadi aduan paling dominan.

Sebagai maklum balas, majikan memberi sokongan melalui aturan kerja fleksibel (37.9 peratus), khidmat kaunseling (32.7 peratus) dan kempen kesedaran kesihatan mental (32 peratus).

Laporan MEF turut memuatkan dapatan berkaitan trend digital, termasuk pengambilan teknologi kecerdasan buatan (AI) di tempat kerja dengan sebanyak 37.3 peratus syarikat telah mengguna pakai AI, manakala 19.1 peratus merancang pelaksanaan dalam tempoh 12 bulan.

Malah, hanya 16.5 peratus majikan percaya bakat tempatan mencukupi untuk menyokong pelaksanaan AI, manakala, garis panduan etika AI baharu dibangunkan oleh 27.6 peratus syarikat.

Selain prestasi 2025, MEF turut mengemukakan unjuran 2026 dengan jangkaan purata kenaikan gaji lebih tinggi berbanding 2025 iaitu 5.33 peratus bagi eksekutif dan 5.01 peratus bagi bukan eksekutif.

Kadar bonus purata tahun depan pula dijangka stabil dengan 2.16 bulan bagi eksekutif dan 2.02 bulan bagi bukan eksekutif, mencerminkan keyakinan majikan terhadap prestasi perniagaan.

Empat laporan MEF turut merangkumi analisis terperinci Perjanjian Kolektif 2024 membabitkan 236 perjanjian daripada 36 industri dan 42 kesatuan, dengan purata pelarasan gaji merentas semua perjanjian sebanyak 5.06 peratus.

Dalam pada itu, MEF komited menyokong pembangunan pasaran kerja mampan.
“Hasil dapatan ini bukan sekadar data, tetapi mencerminkan cabaran dan aspirasi perniagaan serta pekerja di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×