Hafaz 27 muka surat 3 hari, pencapaian tertinggi peserta Kem Pecutan Hafazan MRSM Ulul Albab Semalaysia

Hafaz 27 muka surat 3 hari, pencapaian tertinggi peserta Kem Pecutan Hafazan MRSM Ulul Albab Semalaysia

ANTARA peserta Kem Pecutan Hafazan MRSM Ulul Albab Semalaysia di Masjid Negara, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Berjaya menghafaz 27 muka surat al-Quran dalam tempoh tiga hari. Itu pencapaian tertinggi peserta Kem Pecutan Hafazan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab Semalaysia yang diadakan di Masjid Negara pada 24 hingga 26 Disember lalu.

Seramai 58 pelajar dari MRSM menerusi program ulul albab menyertai kem berkenaan anjuran Biro Ulul Albab Muafakat Mara Malaysia bertujuan memberi fokus kepada Kelas Hafazan al-Quran dipimpin tujuh orang guru.

Menurut Ketua Bironya, Datuk Ahmad Shamsuddin Ramli, kem berkenaan turut diselitkan dengan program tambahan STEM Quranik (Ilmu Falak) serta Modul Imam Muda dan Taranum dalam usaha melahirkan huffaz Mara profesional.

“Majoriti pelajar berjaya mencapai sasaran kem iaitu 10 muka surat bersamaan dua minggu sesi tasmik ketika waktu persekolahan.

“Dalam kem ini, kita mengguna pakai tiga teras utama dalam kemenjadian Ulul Albab iaitu Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik,” katanya di sini semalam.

Menurut Ahmad Shamsuddin, bagi domain Quranik, kem ini memberikan fokus utama kepada kelas hafazan dan bimbingan hafazan dengan peserta dibekalkan e-book panduan menghafaz bagi beberapa pelajar yang memerlukan bimbingan tambahan.

Pada masa sama, katanya, mod pembelajaran tambahan melalui program STEM Quranik dengan perkongsian ilmu al-Quran dan Sains telah disampaikan oleh bekas Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Datuk Dr Azhari Mohamed dan Pengarah Planetarium Negara, Mohd Zamri Shah Mastor.

“Sesi ini peserta dikongsikan tentang ilmu falak, penentuan arah kiblat dan matematik kepada semua peserta yang disatukan di bawah domain Ensiklopedik.

“Bagi domain ijtihadik, kita berikan pengalaman baharu kepada peserta dengan slot khas bersama Imam Masjid Negara dalam modul imam muda dan bengkel taranum bersama Qariah Selangor,” katanya.

Program kerjasama Masjid Negara dan Planetarium Negara itu mendapat maklum balas memberansangkan daripada pelajar dan ibu bapa dalam membantu hafazan pelajar.

Menurut salah seorang bapa peserta, Mohd Nazri Mohd Tahir, kem seumpama ini amat membantu para pelajar untuk memberi fokus dalam hafazan di samping memahami sains al-Quran.

“Saya amat bersyukur dan gembira menghantar anak ke kem hafazan ini apabila berjaya menghafaz 9 muka surat al-Quran dalam masa tiga hari.

“Suasana kem di masjid sangat kondusif dan membantu anak memberi fokus sepenuhnya kepada hafazan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN