PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) bakal memperkenalkan garis panduan khusus bagi menyelaras semua kutipan yuran atau bayaran tambahan yang dikenakan oleh Muafakat iaitu badan setara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, garis panduan itu merangkumi aspek peraturan, tatacara dan kawal selia berkaitan semua kutipan serta perbelanjaan melibatkan ibu bapa.
Katanya, semua pendapatan dan perbelanjaan Muafakat akan diwajibkan melalui proses audit bagi memastikan ketelusan dalam urus tadbir kewangan badan berkenaan.
“Saya telah meminta Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) Mara untuk membentuk jawatankuasa bagi meneliti, memperinci segala aspek yang terkait dengan operasi Muafakat MRSM.
“Ini membolehkan jawatankuasa menghasilkan dan membentuk satu garis panduan yang akan menjadi satu bentuk peraturan mengikat yang mampu mengawal selia operasi dan tadbir urus Muafakat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan wujud pertelingkahan atau perbalahan berkaitan perbelanjaan, yuran melampau serta caj tambahan atas nama sumbangan yang akhirnya membebankan sesetengah ibu bapa.
“Ada sesetengah MRSM, pelajar terpaksa membeli lapan hingga sembilan jenis pakaian apabila mahu mendaftar selain baju Maktab, baju batik, baju korporat dan lain-lain.
“Dengan adanya garis panduan ini, diharapkan kawalan dapat dibuat supaya kebajikan anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah terpelihara dan tidak dibebankan dengan pembayaran tambahan yang begitu menekan mereka,” katanya. – UTUSAN










