PETALING JAYA: Kes jangkitan influenza dalam kalangan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara menunjukkan penurunan ketara daripada 2,724 kes kepada 1,290 kes.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bagaimanapun pengajaran dan pembelajaran dalam talian (PdPR) tetap diteruskan bagi memutuskan rantaian jangkitan di semua institusi terlibat.
“Langkah ini penting bagi memastikan tahap kesihatan pelajar dan warga sekolah berada dalam keadaan terkawal sebelum mereka kembali ke asrama,” katanya.
Sebelum ini, 34 MRSM melaksanakan PdPR selepas mencatatkan lebih 50 kes jangkitan Influenza di setiap institusi. Tindakan itu, kata Asyraf Wajdi, merupakan langkah proaktif mencegah penularan lebih luas.
Di Johor Bahru, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menggesa semua institusi pendidikan melaporkan segera sebarang penularan influenza kepada Pejabat Kesihatan Daerah bagi membolehkan tindakan pencegahan diambil tanpa berlengah.
Pengarah JKNJ, Dr. Mohtar Pungut, menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar lebih peka terhadap gejala seperti demam, batuk dan selsema yang ditunjukkan anak-anak.
“Influenza ini penyakit biasa, tetapi jika ada bergejala, segeralah mendapatkan rawatan,” katanya selepas merasmikan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2025 di UTC Johor Bahru, semalam.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon, memaklumkan situasi influenza di negeri itu kekal terkawal dengan hanya sembilan kluster dikenal pasti sejak wabak menular di seluruh negara.
Di Kota Bharu, seramai 774 pelajar asrama disahkan dijangkiti Influenza A sehingga 10 Oktober lalu, menjadikan negeri itu antara yang paling terjejas.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah, kes melibatkan tujuh institusi pendidikan termasuk MRSM Kuala Krai, Jeli dan Tumpat, serta beberapa Sekolah Menengah Sains dan Maahad Tahfiz Sains.
Di Kangar, penularan jangkitan Influenza A di Perlis dilaporkan masih terkawal apabila hanya 19 kes direkodkan di sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri itu sejak 1 hingga 13 Oktober lalu.
Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin berkata, walaupun kes dikesan di beberapa sekolah, tiada mana-mana institusi pendidikan di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis diarahkan tutup setakat ini. – UTUSAN










