KUALA TERENGGANU: Seorang guru muzik di sebuah sekolah rendah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lima pertuduhan melakukan kesalahan seksual terhadap murid, tahun ini.
Amani Mazri Mohamed @ Kamal Ariffin, 54, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiquddin Zulkifli.
Dia didakwa melakukan perbuatan amang seksual fizikal dan membuatkan beberapa murid perempuan berusia antara tujuh tahun hingga 10 tahun menyentuh kemaluannya bagi maksud seksual di bilik muzik sekolah di Kuala Nerus, dekat sini antara September hingga Oktober lalu.
Bagi pertuduhan pertama, Amani Mazri didakwa membuatkan seorang murid perempuan berusia 10 tahun menyentuh kemaluannya pada Oktober 2025, kira-kira antara pukul 10.15 pagi hingga 11.45 pagi di lokasi berkenaan.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, selain hukuman tambahan penjara sehingga lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan berkenaan.
Tertuduh turut berdepan satu pertuduhan berasingan melakukan amang seksual fizikal dengan memegang kemaluan seorang murid perempuan berusia tujuh tahun pada 10 September 2025, antara pukul 9.45 pagi hingga 10.15 pagi di bilik muzik sekolah sama, mengikut Seksyen 14(a) akta sama dibaca bersama Seksyen 16.
Selain itu, tertuduh didakwa memiliki video lucah pada 13 November 2025 di Padang Nenas, di sini. Bagi pertuduhan ini, Amani Mazri didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan ini.
Sementara itu, tertuduh menghadapi tiga pertuduhan terhadap seorang murid perempuan berusia lapan tahun yang membuatkan kanak-kanak ini menyentuh kemaluannya bagi maksud seksual pada 24 September, 7 Oktober dan 16 Oktober 2025 di bilik muzik sekolah sama.
Bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanim Ayim manakala tertuduh diwakili peguam Nur Hashikin Mohd. Hanapi.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 15 Januari ini untuk serahan dokumen. – UTUSAN










