Geohan peroleh kontrak RM59 juta Projek LRT Mutiara Pulau Pinang

Geohan peroleh kontrak RM59 juta Projek LRT Mutiara Pulau Pinang

LIM Kim Seng (tengah) semasa gimik paluan gong sempena Majlis Penyenaraian Geohan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Geohan Corporation Berhad (Geohan), syarikat yang baru disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia, menerima dua Surat Anugerah (LOA) daripada SRS LRT Sdn. Bhd. untuk projek Light Rail Transit (LRT) Mutiara Pulau Pinang dengan jumlah nilai sebanyak RM59 juta.

Kedua kontrak itu berkaitan dengan projek Transit Rel Ringan (LRT) Pulau Pinang Laluan Mutiara, sebahagian penting daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang bertujuan meningkatkan infrastruktur pengangkutan di seluruh negeri.

Pengarah Urusannya, Lee Kim Seng berkata, pihaknya berbesar hati menerima dua anugerah kontrak baharu yang signifikan itu, sekali gus bertepatan dengan pencapaian penting kami pada hari ini.

“Pasukan kami sangat bersedia, menempatkan kami sebagai rakan kongsi cerucuk yang dipercayai dalam mengendalikan projek infrastruktur berskala besar dan kompleks.

“Kami yakin dengan keupayaan kumpulan untuk melaksanakan projek-projek yang baru dianugerahkan ini dengan jayanya serta memberikan hasil terbaik kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan.

Dua LOA tersebut, iaitu sub-pakej BP01 dan sub-pakej BP02, masing-masing bernilai RM31.20 juta dan RM27.80 juta.

Ia merangkumi kerja-kerja pembinaan cerucuk tebuk serta kerja-kerja berkaitan lainnya sepanjang laluan LRT, dari Gelugor hingga ke kawasan sekitar Pesta dan SPICE.

Kerja-kerja pembinaan dijangka siap pada 31 Mac 2027 bagi sub-pakej BP01, manakala 30 April 2027 bagi sub-pakej BP02.

Kedua-dua kontrak ini dijangka mengukuhkan keterlihatan pendapatan Geohan bagi tempoh dua tahun akan datang, sekali gus mengekalkan pertumbuhan pendapatan yang berterusan.

Dalam pada itu, Geohan membuat penampilan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad pada 54 sen, dengan jumlah dagangan pembukaan sebanyak 1.56 juta saham, menjadikan permodalan pasaran RM237.60 juta.

Menerusi pelaksanaan IPOnya, Geohan berjaya mengumpul RM72.60 juta hasil terbitan 132 juta saham baharu.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM40 juta telah diperuntukkan untuk memperluaskan armada mesin, termasuk pembelian pelantar penggerudian berputar baharu, kren perangkak dan jengkaut.

Sementara itu, RM25.60 juta akan digunakan bagi tujuan modal kerja, manakala baki RM7 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan penyenaraian.

Kim Seng berkata, pelan hala tuju kumpulan untuk masa depan adalah jelas dan bercita-cita tinggi dengan memperluaskan armada mesin bagi meningkatkan kapasiti operasi serta mewujudkan kehadiran di Singapura.

“Kami bersedia untuk merebut peluang daripada perkembangan sektor infrastruktur Malaysia dan aktiviti pembinaan yang pesat di Singapura.

“Pengalaman industri yang luas dan kepakaran kami sebagai penyedia perkhidmatan asas dan geoteknik sehenti memberi kelebihan kompetitif kepada kami dalam mendapatkan bahagian kontrak asas dan geoteknik.

“Dengan memanfaatkan kekuatan kami, kami akan terus menerajui industri dan memacu pertumbuhan lestari,” ujarnya.

Sebanyak 22 juta saham baharu yang ditawarkan kepada orang ramai di Malaysia telah terlebih langgan sebanyak 7.78 kali, mencerminkan permintaan pelabur yang kukuh dan keyakinan terhadap asas perniagaan Geohan yang teguh.

Setakat ini, Geohan merupakan syarikat kelapan yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 2025.

Pencapaian itu mencerminkan kemajuan berterusan syarikat dalam usaha mengukuhkan profil pasaran, memperluas kredibiliti dan memantapkan kedudukannya sebagai salah satu pemain utama industri.

Pelaksanaan penyenaraian itu juga membuka laluan kepada pertumbuhan masa depan dan peluang baharu bagi Geohan.

Alliance Islamic Bank Berhad ialah Penasihat Utama, Pengunderai Tunggal dan Ejen Penempatan bagi pelaksanaan IPO Geohan Corporation Berhad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×