GEORGE TOWN : Pulau Pinang dijangka memiliki satu lagi daya tarikan baharu untuk pelancongan apabila Galeri Automotif milik Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP) dibuka kepada orang ramai menjelang suku pertama tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, galeri tersebut merupakan galeri pertama seumpamanya di utara Semenanjung yang dibina untuk menempatkan ruang pameran kereta kuda serta kereta-kereta antik buat masa ini.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi LMNPP berkata, galeri yang menelan kos sebanyak RM6.1 juta serta berkeluasan kira-kira 1,907 meter persegi itu mula dibina sejak 8 Mac tahun lepas dan siap sepenuhnya dalam bulan ini.
“Menerusi projek ini, LMNPP dapat meneruskan usaha memperluas jaringan muzium dan galeri di negeri ini di samping memelihara serta memulihara koleksi-koleksi kenderaan bersejarah sedia ada.
“Justeru, projek ini diyakini akan dapat memperkukuh kedudukan Pulau Pinang dalam arus utama dunia permuziuman sekali gus menyokong pembangunan berasaskan warisan pada peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis penyerahan projek cadangan pembinaan ruang kereta kuda dan kereta-kereta antik oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri di Jalan Macalister di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Lembaga Muzium dan Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang, Haryany Mohamad serta Pengarah JKR negeri, Datuk Ir. Ahmad Nadzri Abdul Majid.
Difahamkan, terdapat sekurang-kurangnya 15 koleksi kereta kuda serta kereta antik yang akan dipamerkan di situ dan jumlah tersebut dijangka ditambah secara berperingkat dari semasa ke semasa.
Antara koleksi yang dijangka menjadi tarikan termasuk kereta jenis Rolls Royce yang pernah dinaiki oleh bekas Pesuruhjaya Tinggi British iaitu Sir Henry Gurney, kenderaan unik yang dinamakan Scammel Scarab serta kereta Cadillac model Fleetwood75 yang pernah menjadi kenderaan rasmi Gabenor Pulau Pinang sebelum ini.
Turut menjadi tumpuan adalah pelbagai jenis kereta kuda atau pedati klasik seperti Pedati Gerabak Panjang, Pedati Gerbong (Wagonette), Pedati Seret (Drag), Pedati Perkahwinan Victoria dan lain-lain.-UTUSAN










