Gaji tinggi, kebajikan punca jururawat berhijrah - Utusan Malaysia

Gaji tinggi, kebajikan punca jururawat berhijrah

Gaji tinggi di luar negara punca ramai jururawat berkhidmat di luar negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gaji sekali ganda lebih tinggi, beban kerja kurang dan penghargaan majikan terhadap kakitangan antara faktor ramai jururawat Malaysia berhijrah ke luar negara.

Arab Saudi, United Kingdom (UK) dan Singapura antara negara yang menawarkan imbuhan tinggi kepada jururawat terlibat, berbanding dengan hospital kerajaan dan swasta di negara ini..

Seorang jururawat berpengalaman, Noor Hafiza Saudi, 40, yang kini bertugas di Arab Saudi sejak sembilan tahun lalu berkata, gaji lima angka menjadi faktor utama beliau berhijrah, selain sistem kerja yang lebih terurus dan hak waktu rehat yang benar-benar dihormati.

“Beban kerja memang tinggi, tetapi setimpal dengan gaji. Kami bekerja syif 12 jam empat hari seminggu dan cuti tiga hari. Waktu rehat wajib diberikan dan tidak boleh diganggu kecuali kecemasan.

“Elaun tempat tinggal, utiliti, pengangkutan serta tiket pulang ke Malaysia juga turut disediakan secara percuma oleh kerajaan Saudi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, aspek penghargaan profesional juga ditekankan apabila suara jururawat didengari selain wujud dasar antibuli yang ketat serta siasatan rasmi dilakukan jika berlaku salah laku di tempat kerja.

“Saya tidak menolak kemungkinan untuk kembali berkhidmat di Malaysia sekiranya kerajaan bersedia menaikkan gaji, memperbaiki kebajikan serta menstruktur semula sistem kerja agar lebih mesra petugas kesihatan.

“Malaysia tetap di hati. Jika bayaran setimpal dan sistem diperbaiki, saya sanggup pulang,” ujarnya.

Kelmarin Presiden Delegasi Jururawat Malaysia (DJM), Anwari Hamzah mendakwa, kira-kira 60 peratus jururawat bakal hilang menjelang tahun 2030 atas pelbagai faktor termasuk berhijrah ke luar negara.

Sementara itu, seorang jururawat Malaysia di Singapura yang sudah bekerja hampir lapan tahun, Nooraisyah Embong, 30, berkata, tekanan kerja di hospital awam republik itu memang sangat tinggi.

“Namun dengan sistem yang tersusun, nisbah jururawat kepada pesakit yang lebih seimbang serta perancangan kerja yang sistematik menjadikan tekanan dialami lebih terkawal,” katanya.

Katanya, jururawat di Singapura dilihat sebagai komponen penting pasukan penjagaan kesihatan dengan pandangan klinikal dihormati dan diambil kira dalam proses membuat keputusan.

Dalam pada itu, seorang jururawat yang sudah bekerja di United Kingdom (UK) selama tujuh tahun, Nur Amani Abdul Radzi, 32, berkata, beban kerja sebagai jururawat di UK berada pada tahap yang terkawal.

“Saya sudah bekerja sebagai jururawat di Malaysia selama 10 tahun dan tujuh tahun pula di UK. Jadi, saya dapat bandingkan beban kerja antara di Malaysia dan UK sangat berbeza dari segi waktu kerja dan rehat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN