Gaduh gara-gara Tiktok, lima wanita didenda RM1,000

Gaduh gara-gara Tiktok, lima wanita didenda RM1,000

SEBAHAGIAN tertuduh diiringi polis semasa menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Perselisihan faham di aplikasi TikTok membawa padah kepada lima wanita daripada dua keluarga apabila masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah bergaduh di hadapan Pasar Melor, minggu lalu.

Tertuduh iaitu Rozita Ramli, 47; anaknya Aleeya Maisara Hasbullah, 19; menantunya Siti Nor Bakyah Abdullah, 19, serta dua beradik Siti Sara Suaini, 30, dan Siti Mastura, 28, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, kelima-lima wanita itu didakwa bersama-sama melakukan gaduh gempar di hadapan Pasar Melor di sini, yang merupakan  tempat awam kira-kira pukul 2.30 petang pada 25 Disember lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-dua jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Atikah Abd. Halim.

Terdahulu, Muhammad Nadzir memohon hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada semua tertuduh kerana siasatan mendapati kejadian tersebut berpunca daripada perselisihan faham di aplikasi TikTok. 

“Situasi ini agak membimbangkan apabila pertikaian dalam media sosial dibawa ke alam realiti sehingga mencetuskan keganasan fizikal dan mengganggu ketenteraman awam. 

“Pergaduhan itu bukan sahaja melibatkan individu secara bersendirian, sebaliknya ia membabitkan ahli keluarga iaitu ibu, kakak ipar dan adik-beradik.

“Jika benar tertuduh mempunyai keberanian untuk bertempur, mereka sepatutnya mendaftar dalam sukan yang diiktiraf dan berdisiplin seperti Fury Championship atau kejohanan sukan tempur berdaftar apabila kekuatan diuji mengikut peraturan, dipantau pengadil dan dihormati masyarakat,” katanya.

Siti Atikah dalam rayuannya memohon hukuman yang minimum dikenakan terhadap semua tertuduh dengan mengambil kira video kes tersebut yang tular dalam media sosial sudah memberi pengajaran kepada kelima-lima wanita itu.

Rais Imran sebelum menjatuhkan hukuman turut menasihatkan  tertuduh supaya tidak melakukan kesalahan sama dan sebarang pertikaian perlu diselesaikan secara aman tanpa sebarang kacau-bilau.

“Penduduk di Kelantan terkenal dengan budaya dan berbudi bahasa tinggi. Tidak elok Kelantan jadi sohor (terkenal) dengan perkara seperti ini. Jika ada masalah, selesai cara baik,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 kepada setiap tertuduh dan penjara tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut. Kelima-lima wanita itu membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah.

Media  sebelum ini melaporkan, polis menahan 12 individu yang terdiri daripada lima lelaki dan tujuh wanita bagi membantu siasatan berhubung rusuhan di Pasar Awam Melor..

Kejadian pukul 2.30 petang itu menyebabkan seorang wanita mengalami kecederaan pada bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, tangkapan itu dilakukan selepas mangsa berusia 19 tahun tampil membuat laporan mendakwa dirinya dikasari seorang wanita lain berusia lingkungan 20-an. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×