Fokus pembangunan belia, angkat sukan sebagai wadah perpaduan

Fokus pembangunan belia, angkat sukan sebagai wadah perpaduan

MOHAMMED Taufiq mengimbas kad perakam waktu (clock-in) di lobi KBS hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan yang baru dilantik, Dr. Mohammed Taufiq Johari mahu pembangunan belia diberi fokus utama dalam misi menyiapkan generasi masa depan negara yang lebih hebat.

Menurutnya, beliau juga mahu mengangkat sukan sebagai satu wadah perpaduan sekali gus mampu
membanggakan negara.

“Hari ini adalah hari pertama saya melapor diri dan masih banyak perkara yang perlu saya teliti dengan lebih mendalam.

“Oleh itu, kenyataan ini hanyalah ringkas buat permulaan, dan saya memberi jaminan akan mengadakan sesi bersama media dalam masa terdekat bagi memberikan penerangan serta penjelasan yang lebih terperinci berkaitan hala tuju kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengimbas kad perakam waktu di lobi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama timbalannya, Mordi Bimol, di sini hari ini.

Katanya, beliau akan berkongsi gerak kerja KBS lebih terperinci dalam masa terdekat termasuk kerjasama rentas kementerian bagi memastikan pengukuhan dan agenda belia dan sukan menepati kehendak Madani

Dr. Mohammed Taufiq berkata, beliau turut merakam penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas kepercayaan diberikan menakhodai kementerian ini.

Katanya, beliau juga merakamkan terima kasih kepada bekas Menteri Belia dan Sukan sebelum ini, Hannah Yeoh serta timbalannya, Adam Adli atas pelbagai inisiatif dan gerak kerja cemerlang yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh perkhidmatan di KBS.

“Kedua-dua mereka telah melaksanakan tugas dengan amat baik dan berkesan, dan saya yakin asas kukuh yang telah dibina akan terus diperkasakan serta diteruskan oleh saya bersama timbalan,” katanya.

Dr. Mohammed Taufiq sebelum ini dikenali sebagai antara wakil rakyat muda yang aktif memperjuangkan isu pembangunan belia dan kemasyarakatan, sekali gus dijangka membawa dimensi baharu kepada kepimpinan KBS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×