Sebagai seorang yang aktif dalam dunia Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), saya melihat bahawa Malaysia telah mengambil banyak langkah asas seperti kerjasama industri dan peningkatan kompetensi tenaga pengajar.
Namun, untuk menjadikan TVET benar-benar setaraf negara maju, kita perlu melangkah lebih jauh dan membangunkan ekosistem yang lebih dinamik, inovatif dan berorientasikan masa hadapan.
Pertama, setiap institusi TVET wajar diwujudkan dengan TVET Innovation Lab sebagai ruang pembangunan projek sebenar. Dengan kemudahan seperti pencetak 3D, mesin prototaip, ruang automasi dan bengkel robotik, pelajar bukan sahaja mempelajawri modul tetapi berpeluang mencipta produk, membina penyelesaian industri dan menghasilkan inovasi yang boleh dikomersialkan.
Langkah ini menukar TVET menjadi pusat inovasi, bukan sekadar pusat latihan. Kedua, Malaysia perlu memperkenalkan sistem apprenticeship berstruktur yang setaraf negara Eropah, iaitu pelajar menjalani latihan industri selama enam hingga 12 bulan dengan bimbingan mentor sebenar industri.
Model tersebut terbukti berkesan melahirkan tenaga kerja yang produktif kerana pelajar terdedah kepada amalan kerja sebenar, teknologi terkini dan budaya profesional sejak awal lagi.
Ketiga, saluran khusus seperti TVET Talent Pipeline di peringkat sekolah menengah perlu diwujudkan bagi mengenal pasti pelajar yang berbakat dalam bidang teknikal. Program pendedahan awal seperti pertandingan robotik, bengkel automasi, lawatan industri dan kem teknologi memberi peluang untuk memupuk minat serta persediaan lebih awal sebelum memasuki institusi TVET.
Keempat, penyertaan industri perlu dipertingkat daripada sekadar rakan latihan kepada rakan pelabur. Kelima, sistem pensijilan berganda juga penting bagi melonjakkan nilai graduan. Selain sijil TVET, pelajar harus dibekalkan dengan pensijilan. Akhir sekali, TVET perlu memperluas peranannya kepada pembangunan usahawan teknikal.
Melalui ekosistem micro-entrepreneurship, pelajar boleh dilatih bukan sahaja sebagai pekerja mahir tetapi sebagai pembuat produk, juruteknik bebas atau pereka automasi kecil.
Secara keseluruhannya, masa depan TVET Malaysia bergantung kepada kemampuan kita memperkenalkan pendekatan baharu yang lebih agresif, kreatif dan sejajar dengan keperluan industri masa kini.
Dengan inovasi, pelaburan bersama industri, pendedahan awal, pensijilan global serta peluang keusahawanan, TVET bukan sahaja menjadi pilihan utama pelajar, tetapi turut menjadi pemangkin pembangunan teknologi dan ekonomi negara. – UTUSAN
Muhammad Asif Zulkifli
Pengarah Urusan
Zulldesign Autotronic










