DUN Perak lulus Belanjawan 2026 berjumlah RM1.61 bilion - Utusan Malaysia

DUN Perak lulus Belanjawan 2026 berjumlah RM1.61 bilion

SAARANI Mohamad ketika sesi penggulungan Belanjawan Perak 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini sebulat suara meluluskan Belanjawan Perak 2026 berjumlah RM1.61 bilion.

Enakmen Perbekalan Tahun 2026 itu mendapat sokongan 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir tanpa sebarang bantahan dengan sedikit pindaan selepas dibahaskan selama tiga hari.

Sepanjang perbahasan selama tiga hari bermula selasa lalu, seramai 46 ADUN telah berbahas masing-masing 18 orang mewakili kerajaan dan 26 dari blok pembangkang.

Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad membuat penggulungan perbahasan belanjawan tersebut dengan menjawab pelbagai soalan dikemukakan oleh ADUN-ADUN ketika sesi perbahasan.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid kemudian meminta semua ADUN yang menyokong belanjawan tersebut menyatakan persetujuan.

Kesemua ADUN menyatakan persetujuan secara sebulat suara terhadap belanjawan itu dengan Mohammad Zahir mengumumkan Belanjawan Perak 2026 diluluskan pada bacaan kali kedua dan kali ketiga.

Pada 25 November lalu, Saarani membentangkan Belanjawan Perak 2026 bertemakan ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’ berjumlah RM1.61 bilion yang mencatatkan peruntukan tertinggi dalam sejarah negeri.

Belanjawan tersebut merangkumi RM1.045 bilion peruntukan bagi perbelanjaan mengurus dan RM568 juta untuk perbelanjaan pembangunan.

Pecahan perbelanjaan bagi maksud mengurus merangkumi emolumen sebanyak RM496 juta, perkhidmatan dan bekalan (RM385.9 juta), pembelian aset (RM13.9 juta), pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM143.8 juta) dan lain-lain perbelanjaan (RM5.9 juta).

Sektor kesejahteraan rakyat menyediakan peruntukan terbesar sebanyak RM718.5 juta dengan peningkatan RM89.8 juta berbanding tahun lalu, yang mana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai antara jentera paling hadapan menerima peruntukan sebanyak RM47.3 juta.

Peruntukan sebanyak RM32.1 juta juga disediakan untuk melaksanakan empat program kesejahteraan antaranya program Kad Perak Sejahtera (RM24.5 juta), Kedai Bergerak Negeri Perak (RM1.2 juta), Program Bantuan Kotak Makanan (RM6 juta) dan bagi Program Bantuan Kotak Makanan dengan Jualan Sejahtera Rahmah (RM400,000).

Bagi memperkasakan syiar Islam, peruntukan sebanyak RM130.8 juta diberikan kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk pelaksanaan pelbagai program kerohanian di negeri ini.

Belanjawan yang dibentang kali ini juga menarik perhatian apabila kerajaan negeri memperuntukkan bantuan khas RM1,000 seorang kepada kira-kira 3,000 bakal jemaah haji Perak untuk musim haji 1447H/2026M melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM3 juta.

Penjawat awam yang berkhidmat di bawah pentadbiran kerajaan negeri Perak juga menerima khabar gembira apabila menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) dua bulan gaji yang akan dibayar pada bulan ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN