Dulu pun orang persoalkan saya jadi pengacara - Utusan Malaysia

Dulu pun orang persoalkan saya jadi pengacara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam landskap seni hiburan tanah air yang semakin berkembang maju, bidang pengacaraan bagaimanapun dilihat masih berdepan dengan isu ketandusan pelapis baharu yang benar-benar mampu menggalas tanggungjawab di pentas besar.

Fenomena pengacara yang sama mengemudi kebanyakan program hiburan, anugerah dan siaran langsung menimbulkan persoalan tentang sejauh mana ruang sebenar diberikan kepada bakat baharu untuk diketengahkan secara serius.

Isu ini bukan sekadar berkait dengan peluang semata-mata, sebaliknya turut melibatkan soal kualiti, keyakinan, karisma dan ‘X Factor’ yang menjadi pemisah antara sekadar boleh mengacara, dengan benar-benar berjiwa pengacara.

Mengulas tentang hal ini, pengacara dan pelakon versatil, Sherry Alhadad tampil berkongsi pandangan berdasarkan pengalamannya lebih sedekad dalam industri.

Betulkah sekarang sukar untuk mencari pelapis dalam bidang pengacaraan di Malaysia?

Memang benar, agak sukar untuk mencari pelapis. Isu ini pun pernah dibincangkan bersama pengacara-pengacara lain. Akhirnya, muka yang sama juga mengendalikan program yang sama. Kalau saya tidak boleh, orang itu buat. Bila dia tidak boleh, saya pula buat. Ini berlaku sebab memang kurang pengacara baru yang betul-betul boleh membawa rancangan, terutamanya untuk rancangan besar seperti anugerah atau rancangan mingguan.

Pada pandangan Sherry, apa punca utama masalah ini?
Bagi saya, stesen televisyen juga perlu memberi peluang kepada golongan muda. Dulu pun, masa saya mula-mula diberi peluang, orang juga persoalkan kenapa tiba-tiba saya jadi pengacara. Tapi kalau tidak diberi peluang, kita tidak akan berada di tahap sekarang. Peluang itu sangat penting untuk membina bakat.

Selain peluang, apakah ciri paling penting yang perlu ada pada seseorang pengacara?
Kena ada X Factor. Sebab, mengacara ini, sesiapa pun boleh buat. Tapi kenapa seseorang itu dipilih? Mestilah ada kelebihan tersendiri, ada signature, ada karisma. Keyakinan juga penting. Pengacara perlu buat orang nampak dia dalam industri ini. Adik-adik yang mahu jadi pengacara kena banyak menonton. Bukan hanya rancangan tempatan, tapi juga dari luar negara. Tengok bagaimana pengacara hebat mengendalikan program. Dari situ kita boleh belajar gaya, pengendalian, dan cara komunikasi.

Ada juga isu pelawak dijadikan pengacara. Apa pandangan Sherry?
Tidak salah pun kalau penerbit ambil pelawak sebagai pengacara, sebab itu bergantung kepada konsep rancangan dan sasaran penonton. Kalau rancangan hiburan, memang sesuai guna pengacara yang ada elemen lawak. Tapi di Malaysia kita juga ada rancangan pendidikan, ilmiah dan majlis rasmi. Untuk program sebegitu, kita perlukan pengacara yang betul-betul sesuai dengan konsep.

Sejauh mana pentingnya kebolehan untuk berinteraksi dalam pengacaraan?
Sangat penting. Pengacara kena pandai tukar diri mengikut jenis program. Contohnya Alif Satar, dia boleh buat rancangan hiburan dan juga rancangan ilmiah. Itu kelebihan. Dina Nadzir pula ada kelebihan dalam bahasa Inggeris, jadi dia juga sesuai untuk pelbagai jenis program. Setiap pengacara kena ada kemahiran tersendiri. Saya sendiri pun, sampai sekarang saya masih belajar. Kita tidak boleh rasa selesa walaupun sudah lama dalam industri. Tengok seperti Aznil Nawawi, bagaimana dia kekal relevan dari dulu sampai sekarang. Sebab, dia ikut peredaran zaman dan tahu apa yang sedang viral.

Siapakah antara pelapis pengacara yang Sherry lihat berpotensi?
Antara yang boleh dibentuk dan digilap ialah Shiha Zikir, Fiza Frizzy, Sissy Imann dan juga Emilia Henderson. Bagi saya, mereka semua ada potensi besar dalam bidang pengacaraan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN