PETALING JAYA: Sambutan baik yang diterima kumpulan, Dolla, semasa membuat persembahan di Youtube Music Nights di Indonesia baru-baru ini memberi keyakinan kepada kumpulan itu untuk melebarkan sayap ke peringkat global.
Bagi Dolla yang dianggotai Angel, Sabronzo, dan Tabby, mereka terbuka mengembangkan kerjaya seni sekiranya diberikan peluang.
“Kalau ada rezeki dan peluang memang kami akan ambil. Baru-baru ini kami ke YouTube Music Night di Jakarta, vibes mereka sangat seronok.
“Ia jadi satu motivasi untuk kami ketengahkan lagi bakat kami sebagai wakil dari Malaysia,” katanya.
Sementara itu, mewakili Dolla, Sabronzo atau Wan Sabrina Wan Rusli, 30, percaya kumpulannya mampu membawakan muzik-muzik tempatan ke peringkat lebih tinggi.
“Kami sentiasa mahu lebarkan sayap muzik kami ke tahap antarabangsa.
“Baru-baru ini kami ke Jakarta, ada peminat baru dari sana juga.
“Tidak salah untuk lebarkan lagi sayap kami dan bawa industri muzik Malaysia ke tahap lebih tinggi,” ujarnya.
Mengulas mengenai kontroversi muzik video (MV) Question yang diturunkan dari platform YouTube, Dolla tidak berhasrat untuk merakamkan semula video tersebut.
“Tidak (rakam semula video). Tapi masih lagi ada video latihan tarian, kami masih juga muat naik video untuk penonton dan peminat antarabangsa.
“Hari ini pun sudah ada 400,000 tontonan dan kami sangat berbesar hati dapat kongsi video dengan peminat antarabangsa ,” katanya.
Dalam pada itu, Tabby menyifatkan sokongan peminat luar negara tetap hangat walaupun kontroversi melanda.
Sebelum ini, video muzik Question diturunkan apabila masyarakat menyifatkan pakaian yang dikenakan Dolla disifatkan seksi dan keterlaluan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut menegur isu pemakaian artis beragama Islam yang tidak selari dengan garis panduan sedia ada.










