‘Ditipu RM5 juta pun saya tidak marah’ - Utusan Malaysia

‘Ditipu RM5 juta pun saya tidak marah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelawak dan pelakon, Saiful Apek, mengakui dirinya tergolong dalam kelompok manusia yang sukar untuk beremosi marah.

Malah, dia memilih reda apabila pernah ditipu sehingga kerugian kira-kira RM5 juta sepanjang lebih 30 tahun penglibatannya dalam industri hiburan tanah air.

Menurut Saiful, sikap sabar dan tenang itu bukan dibuat-buat, sebaliknya sudah sebati dalam dirinya sejak sekian lama.

“Secara peribadi, saya memang jenis yang susah marah. Kalau saya marah pun, orang tengok macam kelakar. Saya pernah marah anak saya, tetapi dia ketawa sahaja.

“Dari situ saya faham, mungkin Allah jadikan saya begini supaya saya lebih banyak sabar,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.

Tambahnya, pengalaman ditipu dalam pelbagai bentuk pernah menguji kesabarannya, termasuk bayaran kerja yang tidak dilunaskan.

Ia termasuk urusan kenderaan syarikat yang diabaikan sehingga ditarik walaupun hanya berbaki beberapa bulan bayaran.

“Ada kerja sudah dibuat tapi bayaran tidak diselesaikan. Ada pula hal kereta syarikat yang tak diurus sampai ditarik. Namun, sepanjang 30 tahun saya tak pernah naik turun mahkamah nak saman sesiapa.
“Anda semua pun pasti tidak pernah mendengar cerita saya naik turun mahkamah kononnya mahu tuntut keadilan bukan?

“Pada saya, kalau duit itu kembali kepada saya sekalipun, akhirnya ia akan habis juga. Yang lebih penting ialah hati yang reda. Bukan saya tak ralat kerugian, tetapi kadangkala lebih baik kita serahkan sahaja hal itu kepada Allah SWT,”ujarnya.

HATERS? SAYA PUN ADA

Dalam masa sama, Saiful turut berkongsi pandangannya terhadap golongan pembenci atau haters yang sering melontarkan kata-kata pedas di media sosial terhadapnya.

“Dulu sebelum ada media sosial, paling tidak pun orang hantar surat kalau tak suka seseorang artis itu. Sekarang kata-kata jadi sangat tajam.

“Ada yang kata saya dah tak relevan, dah tua, tak kelakar, suruh beri laluan pada pelawak baru. Ada juga yang suruh saya duduk di masjid sahaja dan berhenti berkarya,” katanya.

Bagaimanapun, akui Saiful, dia memilih untuk tidak membalas kebencian dengan kebencian.

“Saya selalu anggap mereka ini sebenarnya mangsa buli, mangsa tekanan hidup. Mungkin mereka dibuli di tempat kerja, rumah tangga bermasalah atau rezeki sempit.

“Mereka lepaskan di ruang komen sebab di situ mereka rasa ada ‘kuasa’. Kalau kita pandang begitu, kita nampak mereka pun sebenarnya sedang sakit.

“Kalau ada 10 orang paling awak benci, jangan letak saya nombor satu. Bila kita balas kebencian dengan kasih sayang, mereka jadi hilang arah. Bagi saya, api dilawan dengan air,” katanya.

Pun begitu, kata Saiful, meskipun sukar marah dan reda, ia bukan bermaksud dirinya lemah. Sebaliknya ia satu bentuk kekuatan jiwa yang tinggi.

“Allah nak tengok sejauh mana reda kita. Kadang-kadang kita susah reda sebab terlalu terikat dengan manusia dan dunia. Kita lupa ‘Bos Besar’ kita. Sedangkan semua yang berlaku hanya dengan izin-Nya. Sehelai daun gugur pun tunggu izin Allah,” katanya.

Tambahnya, dia sentiasa mendidik diri untuk bertawakal dan berbaik sangka dengan ketentuan Ilahi.

Mengulas tentang makna kekayaan, Saiful berkata, tanggapan masyarakat hari ini terlalu tertumpu kepada harta benda.

“Ramai fikir kaya itu banyak duit, banyak kereta, rumah besar. Pada saya, kaya sebenar ialah benda yang duit tak boleh beli iaitu kesihatan, keluarga yang baik, kasih sayang, iman.

“Waktu PKP, orang ada 30 kereta pun duduk dalam rumah. Jadi kaya sebenarnya apa?” soalnya.

Dalam masa sama, Saiful turut menyentuh tentang makna kejayaan bagi seorang artis.

“Saya cuma mahu tanya, kehebatan artis diukur dengan apa? Populariti? Trofi? Harta? Semua itu subjektif.

Kita tengok ada tokoh seni yang disanjung ketika hidup, tapi hujung hayat meninggal dunia dalam susah.

“ Itu sedarkan saya, sehebat mana pun kita di mata manusia, kita tak tahu bagaimana pengakhiran kita. Jadi tak perlu hidung tinggi. Jaga adab, jaga hati,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN