PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tiada sesiapa, termasuk pegawai di Pejabat Perdana Menteri sendiri akan terlepas daripada tindakan sekiranya didapati melanggar undang-undang atau mencemarkan integriti.
Kata Perdana Menteri, ini kerana integriti institusi bukan sekadar bertindak, tetapi cara untuk bertindak juga harus diteliti.
“Kalau kebetulan ada anggota kita yang tersalah langkah, kalau ringan memang tindakan disiplin biasa. Kalau terlanjur besar, mesti ada kesediaan dari badan-badan penguat kuasa untuk bertindak terhadap anggota kita sendiri baru boleh selamat negara ini.
“Kalau di pejabat saya sendiri tidak terlepas daripada tindakan, mengapa tidak boleh dari pejabat KSN (Ketua Setiausaha Negara) umpamanya, malah pejabat Peguam Negara atau pejabat Tan Sri Azam (Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki).
“Kalau ini ada, maka kita telah meningkat usaha ke peringkat yang paling mulia dari sudut mempertahankan integriti dan kebersihan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut memberikan penghargaan kepada agensi penguat kuasa dalam memecahkan ‘tembok’ kartel di negara ini.
Perdana Menteri menegaskan, kerajaan akan terus mengamalkan pendekatan terbuka, mendengar teguran dan keluhan rakyat, termasuk menerima gesaan supaya semua tindakan penguatkuasaan mesti mematuhi proses undang-undang sepenuhnya. – UTUSAN










