Cuaca panas, bot nelayan sukar lepasi muara sungai cetek

Cuaca panas, bot nelayan sukar lepasi muara sungai cetek

Md. Dahari Md. Tarsim menunjukkan keadaan muara sungai yang cetek akibat cuaca panas di jeti Parit Haji Dollah, Sungai Tiram, Lekir, Lumut. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Sekumpulan nelayan laut di Parit Haji Dollah Sungai Tiram, Lekir di sini terpaksa menunggu air pasang seawal pukul 5 pagi bagi membawa bot melepasi muara sungai yang semakin cetek sejak lebih sebulan lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kebanyakan nelayan di kawasan itu terpaksa mengikat bot di pesisir pantai sepanjang musim panas susulan paras air muara yang terlalu cetek, sekali gus menyukarkan mereka untuk keluar ke laut.

Keadaan tersebut menyebabkan nelayan tidak mampu berbuat apa-apa kecuali memendam rasa apabila rutin mencari rezeki harian terjejas.

Seorang nelayan, Md. Dahari Md. Tarsim, 73, berkata, muara sungai di kawasan itu menjadi terlalu cetek sejak lebih sebulan lalu sehingga menyukarkan kerja mengeluarkan bot dari jeti ke laut.

Menurutnya, mereka terpaksa menunggu air pasang setiap hari sebelum dapat keluar menangkap ikan.

“Laluan keluar dari jeti ke muara kini dipenuhi pasir yang timbul. Keadaan ini memang bermasalah kerana bot tidak dapat melepasi muara dan kami terpaksa menunggu air pasang berjam-jam lamanya.

“Kadang-kadang walaupun sudah menunggu lama, masih tidak pasti sama ada bot boleh melepasi muara atau tidak. Kami perlu menunggu paras air pasang sekurang-kurangnya empat meter barulah bot boleh keluar ke laut,” katanya.

Beliau berkata, langkah terbaik bagi menyelesaikan masalah itu adalah dengan mengorek atau mendalamkan muara sungai supaya pergerakan keluar masuk bot ke jeti dapat dipermudahkan.

Seorang lagi nelayan, Mohamad Kamal Mat Nor, 40, berkata, masalah muara cetek bukan perkara baharu, namun musim panas kali ini lebih teruk sehingga menyebabkan beting pasir timbul walaupun hujan turun seketika.

Menurutnya, keadaan itu mengakibatkan pelbagai ma­salah kepada nelayan termasuk bot tersadai, tersangkut dan mengalami kebocoran.

“Kami bimbang kerana tidak lama lagi akan memasuki bulan Ramadan diikuti Aidilfitri. Jika masalah ini berlarutan, pendapatan kami terjejas sedangkan perbelanjaan keluarga semakin meningkat,” katanya. – utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN