Russia tidak akan serang Eropah kecuali diceroboh 

Russia tidak akan serang Eropah kecuali diceroboh 

SERGEY LAVROV - Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Russia menekankan tidak akan menyerang negara-negara Kesatuan Eropah (EU) atau anggota-anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kecuali jika diserang terlebih dahulu.

Pegawai-pegawai  Barat sebelum ini mempertahankan peningkatan perbelanjaan ketenteraan dengan alasan keperluan mempertahankan anggota-anggota NATO di bahagian timur. 

Panglima tertinggi tentera Jerman, Jeneral Carsten Breuer sebelum ini berkata, negara itu perlu bersiap sedia menghadapi kemungkinan perang dengan Russia menjelang 2029. 

Moscow pula menuduh Barat mengamalkan retorik perang.  Menteri Luarnya, Sergey Lavrov menyatakan Russia akan bertindak balas menggunakan kekuatan penuh sekiranya berdepan sebarang pencerobohan atau serangan daripada pihak Barat.

“Kami tidak mempunyai sebarang niat untuk menyerang Eropah. Tiada sebab untuk berbuat demikian.

“Namun,  jika Eropah bertindak berdasarkan ancamannya untuk bersiap sedia berperang dengan kami dan memulakan serangan terhadap Persekutuan Russia, ia akan berdepan tindak balas ketenteraan sepenuhnya daripada pihak kami, dengan menggunakan semua keupayaan ketenteraan yang ada,” kata Lavrov dalam satu temu bual bersama saluran televisyen  NTV.

Pada sidang akhbar akhir tahun pada Disember tahun lalu, Presiden Russia, Vladimir Putin menolak dakwaan bahawa Moscow merancang untuk menyerang NATO dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.

Bagaimanapun, pegawai Russia menyatakan bantuan ketenteraan Barat kepada Ukraine, termasuk penghantaran senjata jarak jauh yang canggih, meningkatkan risiko berlakunya konflik lebih luas.

Moscow juga menuduh EU cuba menggagalkan rundingan damai yang dimediasi AS antara Russia dan Ukraine, selain berusaha memanjangkan pertempuran.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN