PUTRAJAYA: Dana pembiayaan bumiputera di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN Nasional) akan dinaikkan daripada RM300 juta kepada RM500 juta pada tahun hadapan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, keputusan itu berkuat kuasa segera bagi membuktikan kesungguhan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), setelah mesyuarat pertamanya bersama pengurusan tertinggi hari ini.
“Atas dasar pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) merentas semua kaum, dana pembiayaan bumiputera di bawah TEKUN akan dinaikkan daripada RM300 juta kepada RM500 juta pada 2026.
“Pembiayaan untuk usahawan India melalui Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) juga dinaikkan daripada RM30 juta tahun ini kepada RM50 juta.
“Satu skim baharu untuk pembiayaan PMKS masyarakat Cina sebanyak RM50 juta akan dilancarkan pada Januari tahun depan,” katanya menerusi sidang akhbar selepas sesi taklimat korporat bersama pengurusan tertinggi KUSKOP di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Steven Sim berkata, KUSKOP juga memberikan moratorium bagi tempoh enam bulan tanpa faedah kepada PMKS dan koperasi yang terjejas akibat bencana banjir di seluruh negara.
“Moratorium itu merangkumi pinjaman daripada tujuh agensi di bawah KUSKOP iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia, SME Corp Malaysia, TEKUN Nasional, Bank Rakyat, SME Bank, Perbadanan Nasional Berhad dan Amanah Ikhtiar Malaysia.
“Secara asasnya, mana-mana entiti PMKS dan koperasi yang terjejas dengan bencana banjir di seluruh negara, layak untuk memohon moratorium tanpa faedah selama enam bulan,” katanya. – UTUSAN










