LUMUT: Sebutir bom ditemukan di sebuah kedai runcit 24 jam di Manjung Point, Sitiawan di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman berkata, pihak polis menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan bom tersebut pada pukul 10.30 malam.
Katanya, bom itu ditemui pekerja premis yang melihat objek menyerupai bom buatan sendiri berada di atas rak makanan.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota bersama Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung segera ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan lanjut.
“Berdasarkan pemeriksaan, objek tersebut disahkan tidak berfungsi kerana tiada bahan letupan selain litar yang tidak lengkap,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, susulan penemuan itu, seorang lelaki ditahan di hadapan premis tersebut untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Polis memandang serius sebarang perbuatan yang boleh menimbulkan kegusaran atau mengancam keselamatan awam dan tidak akan berkompromi dalam tindakan sedemikian.
“Orang ramai diingatkan agar tidak menyalahgunakan teknologi untuk menghasilkan sebarang bentuk ancaman yang boleh mengganggu ketenteraman,” katanya. – UTUSAN










