RTPSI 2050 jadikan Pulau Pinang model bandar masa hadapan

RTPSI 2050 jadikan Pulau Pinang model bandar masa hadapan

CHOW Kon Yeow (tengah) ketika merasmikan program publisiti dan penyertaan awam laporan akhir draf Rancangan Tempatan Penang Silicon Island (RTPSI) 2050 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, hari ini. UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri meletakkan sasaran tinggi dalam penyediaan Rancangan Tempatan Penang Silicon Island 2050 (RTPSI 2050) dengan menjadikan Pulau Pinang sebagai model bandar masa hadapan yang mengimbangi kemajuan ekonomi dengan kelestarian alam sekitar.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, RTPSI 2050 bukan sekadar dokumen perancangan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, tetapi turut mencerminkan komitmen jangka panjang kerajaan negeri terhadap generasi akan datang.

“Pembangunan Pulau Silikon dilihat sebagai satu kanvas baharu untuk negeri itu merangka bandaraya masa hadapan yang progresif, mampan dan berdaya tahan.

“Pulau Silikon bukan sekadar projek penambakan tanah, tetapi satu model pembangunan bandar yang seimbang antara pertumbuhan ekonomi pesat dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya ketika berucap merasmikan program publisiti dan penyertaan awam laporan akhir draf RTPSI 2050 di sini, hari ini.

Kon Yeow berkata, penglibatan pelbagai jabatan teknikal, pihak berkuasa tempatan serta badan profesional berjaya menghasilkan dokumen perancangan yang inovatif dan berani, selari dengan cabaran global seperti perubahan iklim dan transformasi digital.

Ketika ini katanya, Pulau Silikon disasarkan menjadi Global Gateway dengan keluasan lebih 930 hektar yang mampu menangani kekurangan tanah perindustrian di negeri itu manakala pembangunan Green Tech Park pula bakal menyediakan ekosistem ‘plug-and-play’ yang memenuhi piawaian ESG bagi menarik pelaburan syarikat multinasional.

“Impak ekonomi projek ini amat besar apabila kita menyasarkan sumbangan sehingga RM1.1 trilion kepada KDNK negara menjelang tahun 2050,” katanya yang memberitahu, sebanyak 220,000 peluang pekerjaan baharu juga dijangka diwujudkan susulan pembangunan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, RTPSI 2050 turut mencatat sejarah sebagai rancangan tempatan pertama di Malaysia yang dibangunkan khusus bagi kawasan tebus guna sepenuhnya, sekali gus membolehkan perancangan dibuat tanpa kekangan infrastruktur lama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN