Tanah depoh LRT di Pulau Silikon siap, boleh diserah seawal Mei

Tanah depoh LRT di Pulau Silikon siap, boleh diserah seawal Mei

CHOW Kon Yeow (dua dari kiri) mendengar taklimat mengenai program publisiti dan penyertaan awam laporan akhir draf Rancangan Tempatan Penang Silicon Island (RTPSI) 2050 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, hari ini. UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Tanah untuk pembangunan tapak depoh LRT Laluan Mutiara di Pulau Silikon di sini telah siap sepenuhnya dan dijangka boleh diserahkan kepada Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) seawal bulan depan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kesiapsiagaan tapak tersebut membolehkan kerja-kerja pembinaan depoh dimulakan tanpa perlu menunggu keseluruhan kawasan tambakan Pulau Silikon siap.

“Keluasan tapak depoh LRT Laluan Mutiara di Pulau Silikon itu kini dimuktamadkan kira-kira 68.52 ekar (hampir 28 hektar) berdasarkan keperluan terkini MRT Corp.

“Tanah untuk depoh LRT telah siap ditambak dan kita jangka boleh serahkan kepada MRT Corp dalam Mei ini untuk memulakan pembinaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program publisiti san penyertaan awam laporan akhir draf Rancangan Tempatan Penang Silicon Island (RTPSI) 2050 di sini hari ini.

Kon Yeow, pendekatan pembangunan secara berfasa dilaksanakan supaya projek tidak tertangguh termasuk membenarkan pembangunan di bahagian tertentu dimulakan lebih awal.

“Kerajaan negeri tidak akan menunggu keseluruhan 2,300 ekar (930.78 hektar) kawasan tambakan siap sebelum memulakan pembangunan di atas tanah (topside development), sebaliknya ia akan berjalan serentak mengikut fasa,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini kira-kira 133.55 hektar kawasan telah berjaya ditambak manakala fasa pertama melibatkan keluasan kira-kira 513.95 hektar.

Kon Yeow berkata, pembangunan pusat pentadbiran negeri baharu termasuk bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Silikon kini berada pada peringkat perancangan awal, namun pusat pentadbiran negeri di bangunan Komtar di Georgetown tetap dikekalkan fungsinya kerana tidak semua agensi kerajaan akan ditempatkan di Pulau Silikon.

Menurutnya, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah dilantik untuk meneliti reka bentuk, keperluan ruang serta susun atur guna tanah bagi projek tersebut.

“Perancangan sedang berjalan termasuk pengumpulan keperluan daripada agensi kerajaan bagi membolehkan reka bentuk dan pelan pembangunan disediakan,” katanya yang memberitahu, tanah bagi pusat pentadbiran negeri yang seluas tujuh ekar itu dijangka siap menjelang tahun 2028 sebelum kerja-kerja pembinaan dimulakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN