GEORGE TOWN: Kertas siasatan kes seorang wanita didakwa diugut dan dicederakan di tempat awam di Jalan Tun Sardon akan dirujuk ke pejabat pendakwa raya dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan lanjut.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada 4 Mac lalu kira-kira pukul 1 tengah hari di Jalan Tun Sardon, Balik Pulau.
Menurutnya, mangsa, wanita tempatan berusia 40 tahun tampil membuat laporan di Balai Polis Balik Pulau selepas mengalami kecederaan, selain mendakwa menerima ugutan dan kenderaannya dirosakkan.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham melibatkan dua lelaki warga tempatan,” katanya di sini, hari ini.
Semalam, peguam, RSN Rayer mempersoalkan mengapa tiada tindakan undang-undang diambil terhadap suspek kes berkenaan walaupun satu laporan polis telah dibuat.
Rayer berkata, walaupun kejadian itu dirakam dan menunjukkan dengan jelas berlaku serangan fizikal oleh seorang lelaki, namun kes berkenaan hanya dirujuk kepada majistret tanpa sebarang pertuduhan dikenakan.
Mangsa yang dikenali sebagai Fam Yean Nie telah membuat laporan polis pada 4 Mac lalu selepas insiden tersebut berlaku di khalayak ramai.
Azizee berkata, mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Balik Pulau dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Katanya, susulan laporan diterima, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya telah menjalankan operasi sebelum berjaya menahan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 323, Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN










