KOTA KINABALU: Bagi menjamin kestabilan Sabah, Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan terbuka kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk meneruskan mandat kerajaan negeri bagi menjamin kestabilan politik di Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, keputusan itu dibuat dengan meletakkan rakyat sebagai fokus utama dan kepentingan kestabilan negeri diutamakan walaupun bertentangan dengan pendirian sebelum ini yang enggan bekerjasama dengan GRS.
“Okay juga kerjasama dengan GRS kerana yang penting adalah rakyat, bagi kestabilan dahulu demi masa depan Sabah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Bung Moktar menegaskan BN tidak akan bekerjasama dengan GRS walaupun berlaku keadaan tergantung dalam pembentukan kerajaan negeri. Sebaliknya, BN akan mencari kerjasama dengan parti lain yang diyakini boleh membawa keseimbangan dalam pentadbiran negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Jafry Ariffin daripada BN, merupakan satu-satunya nama yang diserahkan parti dalam pembentukan Kabinet negeri.
Beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk mempertimbangkan pengisian mana-mana portfolio yang sesuai.
Ahad lalu, Hajiji mendapat sokongan majoriti ADUN untuk membentuk kerajaan negeri baharu dan seterusnya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.
PRN Sabtu lalu menyaksikan GRS memenangi 29 daripada 55 kerusi ditandingi. Selain itu, lima ADUN Bebas, tiga ADUN UPKO, dua ADUN STAR dan seorang ADUN masing-masing daripada Pakatan Harapan (PH) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) turut menyokong Hajiji.
Dengan pengumuman sokongan BN, kerajaan negeri yang diterajui Hajiji kini memperoleh sokongan 46 ADUN, sekali gus memastikan kestabilan pentadbiran dan kelangsungan pembangunan di Sabah. – UTUSAN










