BN kekal tadbir Melaka jika DAP keluar kerajaan

BN kekal tadbir Melaka jika DAP keluar kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) dijangka terus mentadbir Kerajaan Negeri Melaka sekiranya DAP menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan dan ia berpotensi memberi kesan kepada kestabilan politik di peringkat pusat.

Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad berkata, Kerajaan Perpaduan Melaka secara teknikalnya tidak akan tumbang serta-merta sekiranya DAP menarik diri kerana BN memegang majoriti dua pertiga yang sangat kukuh.

Katanya, daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (Melaka), BN memiliki 21 kerusi, manakala DAP hanya mempunyai 4 kerusi, diikuti oleh rakan gabungan lain dan pembangkang.

“Kehilangan empat kerusi DAP tidak akan menjejaskan kedudukan BN untuk terus mentadbir secara bersendirian kerana jumlah 21 kerusi sudah melebihi syarat majoriti mudah 15 kerusi. Walau bagaimanapun, tindakan tersebut akan mencalarkan imej Kerajaan Perpaduan.

“Ia juga akan menyebabkan ketidakstabilan politik dan dalam masa sama mengubah naratif politik negeri Melaka serta nasional sedia ada yang sepatutnya menyokong integrasi antara kaum dalam pentadbiran negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mencabar DAP supaya meletakkan jawatan di Melaka memandangkan parti itu merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri yang diterajui BN.

Susulan itu, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka, Allex Seah dari DAP, menyatakan kesediaannya untuk meletakkan jawatan sekiranya Kerajaan Perpaduan Negeri Melaka dibubarkan.

Sementara itu, Penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, BN atau UMNO sebenarnya lebih senang sekiranya Parti DAP menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan Negeri Melaka, tetapi menegaskan tindakan itu dijangka tidak akan berlaku.

Menurut beliau, kehadiran DAP dalam kerajaan negeri Melaka selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu hanyalah sebagai “add-on” bagi mencerminkan kerjasama BN-Pakatan Harapan di peringkat nasional.

“Dalam konteks Kerajaan Perpaduan negeri tumbang, ia tidak akan kerana BN memiliki satu dominan kursi, manakala DAP dan Pakatan Harapan hanya memiliki empat hingga lima kerusi. Jadi tidak timbul isu kerajaan negeri Melaka akan tumbang,” katanya.

Bagaimanapun, Azmi Hassan menambah, secara teori, tindakan DAP menarik diri mungkin memberi sedikit kesan politik di peringkat Pusat, namun beliau yakin parti itu tidak akan bertindak sedemikian kecuali kerajaan negeri diubah.

Beliau juga menegaskan, BN sebenarnya lebih selesa sekiranya DAP menarik diri kerana ia membolehkan pembahagian kerusi lebih jelas dan teratur untuk pilihan raya negeri akan datang tanpa menjejaskan kerjasama di peringkat nasional. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN