Siapa calon PRK Lamag, Kinabatangan?

Siapa calon PRK Lamag, Kinabatangan?

Naim Kurniawan Bung Moktar antara disebut bakal menggantikan tempat bapanya sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DINAMIKA politik Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dan Parlimen Kinabatangan dilihat semakin menarik menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) apabila faktor kekuatan golongan muda daripada dua parti mula menjadi penentu utama dalam percaturan sokongan pengundi.

Berdasarkan anggaran komposisi daftar pemilih terkini, lebih 45 peratus pengundi DUN Lamag dan 43 peratus di Parlimen Kinabatangan terdiri daripada golongan berusia 18 hingga 40 tahun, sekali gus menjadikan segmen pengundi muda sebagai kelompok kritikal yang mampu menentukan keputusan pilihan raya.

Di peringkat DUN Lamag, sentimen pengundi dilihat lebih cenderung kepada parti tempatan serta calon yang mempunyai kefahaman mendalam tentang aspirasi rakyat akar umbi. Ia sekali gus memberi kelebihan kepada Johainizamshah Johari, calon parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang sebelum ni tewas di tangan Barisan Nasional (BN).

Johainizamshah dilihat mem­punyai ruang lebih luas untuk kembali menawan sokongan, khususnya dalam kalangan pengundi muda yang mahukan wajah baharu dan pendekatan lebih segar.

Beliau yang juga bekas Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Lamag turut dilihat mempunyai kelebihan dari segi pemahaman mendalam terhadap isu setempat, selain mengenali secara langsung masalah dan keperluan penduduk di kawasan ber­kenaan.

Malah, kekuatan Johainizamshah terletak pada keupayaannya menampilkan naratif pembangunan berasaskan keperluan setempat, selain dilihat konsis­ten membina hubungan dengan komuniti di Lamag walaupun berada di luar gelanggang kuasa.

Sebaliknya di Parlimen Kinabatangan, sentimen pengundi dikatakan lebih kompleks apabila unsur mengenang jasa ke­pimpinan lalu masih kuat ber­akar dalam kalangan pengundi tradisional dan keluarga penyokong setia.

Justeru, terdapat spekulasi bahawa faktor sumbangan besar Allahyarham Datuk Bung Moktar Radin sepanjang penglibatannya di Kinabatangan boleh mempengaruhi keputusan pencalonan, dengan nama Naim Kurniawan iaitu anak kepada Bung Moktar mula disebut-sebut sebagai calon berpotensi.

Jika pencalonan itu menjadi kenyataan, ia bukan sekadar soal legasi keluarga, tetapi juga usaha menggabungkan nilai pengalaman politik lama dengan wajah generasi baharu bagi mengekalkan sokongan di pe­ringkat Parlimen.

Dalam konteks lebih luas, kedudukan Datuk Jafry Ariffin sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah kali ini turut menjadi faktor penting dalam menentukan strategi keseluruhan parti di Kinabatangan dan Lamag.

Jafry, yang kini dilihat semakin akrab dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, semestinya perlu mempertimbangkan survival politik diri serta kedudukan BN dalam landskap politik negeri yang semakin mencabar.

Hubungan rapat itu juga mencerminkan realiti bahawa BN kini sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah, sekali gus menuntut pendekatan le­bih pragmatik dalam pemilihan calon agar selari dengan kestabilan pentadbiran sedia ada.

Dalam hal ini, Lamag dan Kinabatangan berpotensi menjadi medan ujian sejauh mana parti-parti politik mampu memberi keseimbangan tuntutan generasi muda dengan sentimen tradisi yang masih berpengaruh.

Malah, keputusan itu turut mencerminkan hala tuju baharu politik Sabah yang semakin dipengaruhi suara generasi muda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN