Bekas pembantu tadbir MPHTJ didakwa curi barang kemas pegawai atasan

Bekas pembantu tadbir MPHTJ didakwa curi barang kemas pegawai atasan

NURFARAEIN Shahruddin diiringi anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka bagi pertuduhan mencuri barang kemas. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang bekas pembantu tadbir Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri barang kemas milik pegawai atasannya bernilai RM37,000, Mei lalu.

Tertuduh, Nurfaraein Shahruddin, 35, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh dengan niat curang telah mencuri barang kemas milik seorang wanita berusia 47 tahun di Pejabat MPHTJ, Aras 2, Kompleks Melaka Mall, Lebuh Ayer Keroh kira-kira pukul 11.10 pagi, 27 Mei 2025.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Difahamkan, kejadian terbongkar selepas mangsa terlihat barang kemas miliknya dianggarkan bernilai RM37,000 yang hilang dijual secara siaran langsung (live) di media sosial oleh premis kedai emas sebelum melaporkannya kepada polis.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis berjaya membongkar kejadian sehingga membawa kepada penahanan tertuduh yang ketika kejadian merupakan kerani mangsa.

Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh yang diwakili peguam Laila Qalida Adnan.

Pembelaan memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya tidak bekerja, menanggung dua anak kecil berusia enam dan tiga tahun, selain perlu menjaga ibu bapa yang sudah tua.

Hujah Laila Qalida, wanita itu juga kini hanya bergantung kepada pendapatan suami sebanyak RM1,500 sebulan sebagai pemandu lori.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin. Kes disebut semula pada 21 Januari 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×