TANAH MERAH: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Paku, Gual Ipoh di sini, dua minggu lalu.
Tertuduh, Ibrahim Sulaiman, 63, yang merupakan bapa kepada dua anak mengangguk faham sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Tun Faez Fikhrie Tun Asrul Saini.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang merupakan penganggur.
Terdahulu, tertuduh yang memakai baju lokap tiba di pekarangan mahkamah dengan menaiki pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero sambil diiringi anggota polis pada pukul 8.30 pagi.
Mengikut pertuduhan, Ibrahim didakwa membunuh Mastura Abdullah, 40, pada 1 Disember lalu antara 9.30 pagi hingga 12.15 tengah hari di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Paku.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan minimum 12 sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Irfan Aizat Daud sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 12 Februari untuk sebutan semula kes.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, suspek kes bunuh di Kampung Paku dipercayai menikam isterinya sdua kali selepas dipercayai angkara cemburu dan mendakwa wanita berkenaan mempunyai kekasih.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan awal mendapati, mangsa bertengkar dengan suspek sebelum ditikam dengan menggunakan sebilah pisau.
Katanya, pemeriksaan mendapati mangsa telah ditikam pada bahagian belakang badannya. – UTUSAN










