AIA PUBLIC Takaful Lancar Program Biasiswa Penyala Harapan - Utusan Malaysia

AIA PUBLIC Takaful Lancar Program Biasiswa Penyala Harapan

MOHD. ASRI (kiri) bersama Prof. Dato’ Dr. Mohamad Fauzan pada pelancaran Program Biasiswa AIA Penyala Harapan baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: AIA PUBLIC Takaful Bhd. (AIA PUBLIC Takaful) mengumumkan pelancaran Program Biasiswa AIA Penyala Harapan – satu inisiatif yang bertujuan memperkasa pelajar Malaysia yang berpotensi tinggi melalui pendidikan.

Ia direalisasikan hasil daripada sumbangan lebihan takaful peserta sijil AIA PUBLIC Takaful yang disalurkan secara kolektif ke dalam Tabung Amal AIA Penyala Harapan, dana khas yang ditubuhkan oleh pengendali takaful itu bagi menyokong pelbagai usaha kebajikan yang menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.

Dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melalui Bahagian Tabung Wakaf UIAM (IIUM Endowment Fund (IEF)), biasiswa ini terbuka kepada pelajar tahun pertama yang mengikuti pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang Perbankan Islam, Kewangan Islam, dan Undang-undang.

Sebanyak RM1.6 juta diperuntukkan untuk menyokong 20 penerima biasiswa bagi kohort pertama, merangkumi perbelanjaan yuran pengajian dan kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian empat tahun.

Penerima biasiswa juga berpeluang menjalani latihan industri bersama AIA PUBLIC Takaful, tertakluk pada syarat akademik dan program.

Mohd Asri Omar, Ketua Pegawai Eksekutif AIA PUBLIC Takaful berkata: “Di AIA, matlamat kami adalah untuk membantu masyarakat menjalani kehidupan lebih sihat, berpanjangan dan bermakna, kami percaya pendidikan merupakan salah satu cara terbaik untuk mencapainya.”

Katanya, AIA PUBLIC Takaful berbesar hati kerana program biasiswa ini adalah inisiatif pertama yang direalisasikan melalui Tabung Amal AIA Penyala Harapan.

“Dengan UIAM sebagai rakan universiti, kami komited membentuk pelajar yang bersemangat dan berwawasan serta memperkasa mereka untuk membina masa depan dan membawa impak positif bukan saja kepada kehidupan mereka malah kepada keluarga serta komuniti.

“Inisiatif ini turut mencerminkan intipati proposisi unik kami iaitu Penyelesaian Syariah Menyeluruh yang berlandaskan prinsip Maqasid Syariah untuk menunjukkan Takaful bukan sekadar pelan perlindungan tetapi juga membawa makna yang lebih mendalam,” ujarnya.

Katanya, melalui salah satu tonggak utama proposisi ini – Berkat Sama-Sama, produk AIA PUBLIC Takaful membolehkan pelanggan menghayati semangat kebersamaan dengan mendermakan lebihan takaful mereka bagi kesejahteraan masyarakat.

Prof. Dato’ Dr. Mohamad Fauzan Noordin, Timbalan Rektor Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti, UIAM pula menambah: “Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan AIA PUBLIC Takaful dalam inisiatif yang bermakna ini. Di UIAM, kami komited melahirkan graduan holistik, menggabungkan kecemerlangan akademik dengan nilai etika yang kukuh.

Katanya, pendidikan terbukti mampu membawa transformasi yang hebat dan biasiswa ini akan membantu pelajar mencapai matlamat akademik mereka di samping menyumbang kepada kemajuan sektor kewangan Islam dan sektor-sektor utama lain.

“Kami percaya kerjasama ini memberi manfaat kepada pelajar dan juga dapat mengukuhkan semangat tanggungjawab bersama dalam komuniti takaful serta dapat menggalakkan usaha kolaboratif lebih besar bagi menyokong pendidikan dan kemajuan sosial, ” ujarnya.

Pelajar yang layak dan telah menerima tawaran kemasukan bagi kursus ijazah sarjana muda berkaitan di UIAM digalakkan untuk memohon biasasiswa itu melalui Bahagian IEF, atau layari laman sesawang AIA untuk maklumat lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN