KANGAR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang digesa memperincikan dakwaan beliau bahawa isu projek menjadi antara punca krisis politik di Perlis sehingga membawa kepada peletakan jawatan Menteri Besar.
Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, kenyataan seperti itu amat serius dan tidak boleh dibiarkan tergantung tanpa penjelasan yang jelas serta bertanggungjawab.
“Maka ia secara langsung mengundang persepsi negatif yang meluas dan berbahaya. Dakwaan (Abdul Hadi) boleh mengundang persepsi yang tidak baik kepada pihak lain. Perincikan projek apa, kepada siapa diberikan rasuah atau sebagainya.
“Kenyataan yang bersifat umum sebegini boleh mencemarkan nama baik ADUN-ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) sedia ada tanpa bukti terbuka. Ia juga mengheret juga penjawat awam negeri ke dalam syak wasangka serta menimbulkan kecurigaan terhadap syarikat-syarikat swasta yang berurusan secara sah dengan kerajaan negeri.
“Yang paling membimbangkan, menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi pentadbiran negeri Perlis,” katanya di sini semalam.
Abdul Hadi kelmarin mendakwa, isu melibatkan beberapa projek di Perlis antara punca krisis politik yang membawa kepada peletakan jawatan Mohd Shukri, namun beliau tidak menerangkan lebih lanjut apa dimaksudkannya.
Fathul Bari yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, jika tiada bukti kukuh dan keberanian untuk menyatakan secara jelas, maka kenyataan seperti ini tidak wajar dilemparkan ke ruang awam kerana ia lebih membawa mudarat daripada maslahat.
“Perlis adalah negeri kecil dengan kestabilan politik, keharmonian pentadbiran dan keyakinan pelabur amat bergantung kepada tutur kata dan tindakan pemimpin.
“Kenyataan berbaur tuduhan tanpa penjelasan bukan sahaja melemahkan kerajaan sedia ada, malah menjejaskan imej negeri di mata rakyat dan pihak luar,” katanya.-UTUSAN










