4.891 juta saman bernilai RM1.4 billion masih belum dijelaskan - JPJ

4.891 juta saman bernilai RM1.4 billion masih belum dijelaskan – JPJ

AEDY FADLY RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan sebanyak 4.891 juta saman bernilai hampir RM1.4 billion masih belum diselesaikan meskipun tempoh diskaun 50 peratus berakhir 30 Disember ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, setakat ini, hanya 520,000 saman telah diselesaikan dengan jumlah bayaran kira-kira RM70 juta sejak 1 November lalu.

“Orang awam masih mempunyai kira-kira 14 hari untuk memanfaatkan diskaun untuk diskaun saman JPJ sebanyak 50 peratus.

“Kita ada lagi saman tertunggak sebanyak 4.891 juta yang belum diselesaikan oleh orang awam dengan jumlah tunggakan hampir 1.4 billion,” katanya dalam sidang akhbar Op Luxury 4.0 di Depoh B Ibu Pejabat JPJ Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ Malaysia, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam.

Beliau berkata, kebanyakan saman tertunggak itu masih melibatkan pesalah yang aktif.

“Ada saman yang tertunggak lebih daripada 10 tahun dan masih belum diselesaikan.

“Semakan boleh dibuat melalui aplikasi MyJPJ, portal JPJ atau hadir terus ke kaunter JPJ, untuk mendapatkan maklumat saman tertunggak,” jelasnya.

Menurut Aedy Fadly, semua orang awam layak menerima diskaun 50 peratus dengan membabitkan semua jenis saman di bawah JPJ.

“Jika saman asal RM300, hanya perlu bayar RM150 sehingga 30 Disember ini,” katanya.

Beliau berkata, mulai 1 Januari 2026, tiada lagi diskaun saman JPJ akan diberikan.

“Kadar saman akan kembali kepada kadar asal dan tiada lanjutan tempoh akan diberikan,” jelasnya.

Kata Aedy, diskaun itu diberikan sebagai peluang terakhir sebelum pelaksanaan struktur bayaran saman mengikut tempoh seperti ditetapkan kerajaan.

“Kita tidak menetapkan sasaran, tetapi masih ramai yang belum menyelesaikan saman walaupun peluang diskaun telah diberikan,” ujarnya.

Beliau menegaskan, saman yang tidak diselesaikan boleh mengakibatkan tindakan lebih tegas pada masa akan datang.

“Saya menyeru orang awam supaya tidak menunggu saat akhir dan segera menyelesaikan saman tertunggak sebelum 30 Disember ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×