21 laluan penerbangan baharu hingga Januari depan bagi persediaan VM2026

21 laluan penerbangan baharu hingga Januari depan bagi persediaan VM2026

TIONG KING SING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 21 laluan penerbangan antarabangsa baharu ke Malaysia bermula bulan ini hingga pertengahan Januari tahun depan sebagai persediaan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, penambahan tersebut melibatkan 16 penerbangan berjadual dan lima penerbangan sewaan.

Katanya, kesemua laluan itu dikendalikan oleh 10 syarikat penerbangan yang menghubungkan Malaysia dengan destinasi di rantau ASEAN, Asia Timur, Uzbekistan dan Sri Lanka.

“Daripada 16 laluan penerbangan berjadual, 13 akan mula beroperasi bulan ini manakala selebihnya pada Januari, sekali gus menambah 81 penerbangan terus ke Malaysia dengan kapasiti maksimum 13,936 penumpang seminggu.

“Bagi penerbangan sewaan pula, lima laluan melibatkan empat penerbangan bermula Disember dan satu lagi pada Januari,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

King Sing berkata, perkhidmatan baharu itu merangkumi lapan negara dan 17 destinasi, selain menghubungkan sembilan lapangan terbang di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Subang, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Tawau, Kuching, Ipoh dan Langkawi.

Katanya, Asia Timur dikenal pasti sebagai tumpuan utama bagi peluasan rangkaian penerbangan antarabangsa tersebut.

“Tujuh penerbangan berjadual dan tiga penerbangan sewaan akan menghubungkan Malaysia dengan lapan bandar di China.

“Selain itu, laluan berjadual baharu turut melibatkan Osaka, Jepun dan Busan, Korea Selatan, manakala Taichung, Taiwan akan menerima penerbangan sewaan,” katanya.

Menurut King Sing, dalam rantau ASEAN pula, enam penerbangan berjadual akan menghubungkan Malaysia dengan Singapura, Jakarta dan Medan di Indonesia serta Cebu di Filipina.

“Tashkent di Uzbekistan dan Colombo di Sri Lanka masing-masing akan menerima satu penerbangan berjadual,” katanya.

Tambah beliau, kebanyakan laluan baharu ini akan dikendalikan oleh syarikat penerbangan tempatan.

Katanya lagi, Batik Air akan mengendalikan lapan penerbangan berjadual dan satu penerbangan sewaan, manakala AirAsia akan melancarkan satu penerbangan berjadual dan satu penerbangan sewaan selain satu penerbangan berjadual oleh Firefly.

“Bagi syarikat penerbangan asing, enam syarikat dari China iaitu Loong Air, Shandong Airlines, Xiamen Airlines, Hainan Airlines, Sichuan Airlines dan Juneyao Air akan mengendalikan lima penerbangan berjadual dan tiga penerbangan sewaan ke Malaysia.

“Baki laluan penerbangan baharu akan dikendalikan oleh T’way Air dari Korea Selatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN