CHANGLUN: Wartawan Utusan Malaysia, Hanafi Zulkefli mencatat kejayaan membanggakan apabila muncul antara 137 graduan sulung Ijazah Sarjana Muda Sastera ( Universiti Utara Malaysia (UUM).
Hanafi menerima Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif) dengan Kepujian, yang merupakan antara tiga program baharu ditawarkan UUM sejak sesi pengajian 2021/2022.
“Saya berasa amat bersyukur kerana menjadi antara kumpulan pertama menamatkan pengajian dalam program ini,” katanya selepas sidang kedua Majlis Konvokesyen ke-38 UUM yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah UUM di sini, hari ini.
Hanafi antara 6,832 graduan menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen Ke-38 UUM, yang berlangsung pada 9 hingga 13 November ini di Dewan Mu’adzam Shah, UUM.
Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Foad Sakdan berkata, UUM meraikan 137 graduan sulung bagi tiga program baharu iaitu Sarjana Muda Sastera Linguistik dan Teknologi Maklumat dengan Kepujian, Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif dengan Kepujian dan Sarjana Muda Sejarah Gunaan dengan Kepujian.
Selain itu, Hanafi menyifatkan kejayaan itu sebagai hadiah paling bermakna buat ibunya, Norazila A. Talib yang menyambut ulang tahun kelahiran pada 9 November dan sentiasa menjadi sumber kekuatan serta inspirasi utama dalam hidupnya.
“Saya berasa sangat bersyukur kerana dapat menggembirakan ibu pada hari lahirnya. Walaupun hadiah ini mungkin tidak seberapa, namun ia tanda kasih dan penghargaan atas segala pengorbanannya selama ini,” katanya,” katanya.
Anak sulung daripada empat beradik itu turut menzahirkan rasa syukur kerana diberi peluang menyambung kerjaya di Utusan Malaysia sebaik sahaja menamatkan latihan industri di organisasi berkenaan.
“Pengalaman sebagai pelatih industri bukan sahaja mengajar erti disiplin dan tanggungjawab, malah menjadi titik tolak yang membuka jalan untuknya berkembang sebagai wartawan profesional dalam dunia sebenar,” katanya.
Hanafi turut berterima kasih kepada seluruh pensyarah dan rakan seperjuangan di UUM yang sentiasa memberi semangat, selain menyifatkan kejayaan itu hasil usaha gigih serta doa berterusan keluarganya.-UTUSAN










