TAWAU: Peluang Parti Warisan (Warisan) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan semakin cerah berdasarkan maklum balas pengundi yang mahu melihat perubahan tampuk kerajaan di Sabah.
Calon Warisan DUN Kukusan, Ma’mun Sulaiman berkata, isu berkaitan infrastruktur yang kian meruncing termasuk gangguan air dan elektrik serta peluang pekerjaan yang terhad menjadi pendorong utama rakyat Sabah termasuk Kukusan untuk menuntut kerajaan baharu.
“Rakyat menantikan Warisan menjadi kerajaan. Mereka mahu perubahan kerana sudah lama kita gelisah dengan masalah infrastruktur. Kita pernah rasa 20 jam mati karan (elektrik), takkan itu mahu berulang lagi.
“Masalah air tidak selesai, masalah elektrik tidak selesai. Peluang kerja anak-anak muda pun semakin berkurang,” katanya ketika ditemui dalam program kempen di Pasar Malam Chester semalam.
Menurut Ma’mun, semakin ramai anak muda terpaksa berhijrah ke Semenanjung termasuk ke luar negara seperti Korea dan Australia disebabkan peluang pekerjaan yang terhad di negeri ini dan sudah tiba masanya Sabah ditadbir kerajaan lebih telus dan berani memastikan masa depan rakyat terjamin.
Beliau berkata, majoriti rakyat menyuarakan keinginan menamatkan pentadbiran kerajaan sedia ada.
“Kebanyakan pengundi mahu berubah. Saya turun rumah ke rumah, taman ke taman. Kukusan ada 22 taman perumahan, 15 kampung. Baru 50 peratus saya sempat jelajah. Masih banyak yang saya akan jumpa untuk sampaikan mesej bahawa inilah masa untuk memilih kerajaan yang telus,” jelas beliau.
Ma’mun berkata, rakyat sudah semakin sedar bahawa masalah membelenggu negeri ini memerlukan keberanian politik untuk menyelesaikannya dan beliau percaya momentum perubahan itu semakin kuat menjelang hari mengundi.
Ma’mun turut menjelaskan pendekatan kempen tanpa banyak ceramah politik, kerana baginya pertemuan terus dengan rakyat lebih berkesan. – UTUSAN










