KOTA KINABALU: Warisan tidak pernah mengadakan pertemuan dengan mana-mana pemimpin Barisan Nasional (BN) atau parti lain seperti yang didakwa bagi membincangkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Bagaimanapun Presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, parti itu bersedia untuk bekerjasama dengan parti tempatan.
“Mana ada jumpa BN, Saya tak jumpa dengan mana-mana pemimpin.
“Seperti yang saya katakan tadi, kita tidak kisah untuk bekerja dengan sebarang parti tempatan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Mengulas lanjut beliau mendakwa, kerajaan baharu yang ini tidak akan bertahan hingga lima tahun.
“Awak fikir ia akan bertahan selama lima tahun? Kerana jika awak terpaksa mempunyai keinginan untuk mempunyai banyak perkara dalam hidup kedudukan, projek dan wang.
“Dahulu pun kita lihat GRS bersama BN tidak bertahan lama, kerana itulah dinamika semula jadi dalam politik, bukan sahaja di negara kita tetapi juga di seluruh dunia,” katanya.
Shafie turut menegaskan, soal membentuk kerajaan bukanlah motivasi utama beliau.
“Saya tidak mahu diketepikan hanya kerana urusan kita untuk membentuk kerajaan. Matlamat saya adalah untuk menyatukan rakyat. Itu tujuan utama saya.
“Jangan lupa tentang keperluan rakyat. Maksud saya, biarkan kita fokus kepada keperluan rakyat pada masa akan datang.
“Saya tak mahu keyakinan rakyat akhirnya pudar kerana wujudnya pihak tertentu yang menipu atau cuba memperdaya rakyat pada saat-saat akhir pilihan raya. Pihak itu hanya menunjukkan keberanian sementara, tetapi akhirnya watak sebenar mereka akan terserlah,” katanya. – UTUSAN










