KOTA KINABALU: Warisan tampil dengan pendekatan lebih terfokus dan menyeluruh apabila memilih untuk memajukan Sabah melalui pembahagian kepada lima zon pembangunan utama.
Lima zon pembangunan itu merangkumi Zon A yang meliputi kawasan Beaufort, Kuala Penyu, Sipitang, Kimanis, Keningau, Pensiangan dan Tenom; Zon B merangkumi Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Papar, Tuaran, Ranau dan Sepanggar dan Zon C melibatkan Kudat, Kota Marudu, Banggi, Kota Belud dan Pitas.
Selain itu bagi, Zon D terdiri daripada Beluran, Telupid, Tongod, Sandakan-Batu Sapi, Libaran, Kinabatangan dan Labuk; manakala Zon E merangkumi Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Kunak.
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, parti itu telah mengenal pasti program khusus bagi sektor pertanian, akuakultur, hiliran serta pembukaan industri baharu bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di setiap zon berkenaan.
Tambah beliau, Warisan akan mewujudkan semula Kementerian Pendidikan dan Inovasi serta Kementerian Kesihatan sebagai sebahagian daripada usaha untuk menangani keperluan infrastruktur yang teruk, keperluan perubatan dan pendidikan di negeri ini.
“Visi kami adalah untuk bebas daripada pergantungan, memastikan kemajuan ekonomi dan sosial untuk manfaat semua orang tanpa mengira kaum dan agama.
“Warisan bukan hanya untuk memenangi pilihan raya tetapi untuk membina Sabah yang lebih baik dan bersatu,” katanya ketika merasmikan pelancaran manifesto Warisan di sini.
Antara perkara lain yang dinyatakan dalam manifesto itu adalah untuk melaksanakan rangkaian kereta api yang lebih baik untuk menambah baik kesalinghubungan, mengurangkan kesesakan lalu lintas dan melaksanakan langkah-langkah untuk mengurangkan kerosakan di jalan raya akibat kenderaan berat serta menyokong perniagaan import dan eksport.
Selain itu, antara visi Warisan ialah menjadikan Papar sebagai hab universiti serta menubuhkan universiti bertaraf antarabangsa bagi mengurangkan dan akhirnya menghapuskan, masalah penghijrahan tenaga mahir ke luar negeri.
“Ini akan memacu peluang ekonomi dalam pelbagai bidang untuk masyarakat setempat dengan penubuhan institusi ini,” katanya.
Tambah Mohd. Shafie, sekiranya diberi mandat dan peluang untuk mentadbir penggal penuh, mereka berharap untuk melabur bukan sahaja dalam infrastruktur, kesihatan, pendidikan, air dan elektrik, keselamatan makanan dan sambungan Internet tetapi juga untuk membangunkan minyak dan gas, perlindungan hidupan liar dan alam sekitar serta empangan hidro.










