CAMERON HIGHLANDS: Kehadiran warga asing yang semakin menguasai sektor pekerjaan awam seperti jualan di pasar malam dan kawasan perniagaan sekitar tanah tinggi ini menimbulkan keresahan penduduk tempatan sejak lima hingga enam tahun lalu.
Pekebun tempatan, Khor Thiam Bee, 60, berkata, warga asing bukan sahaja ambil alih pekerjaan penduduk tempatan, malah ada yang diajar memandu dan mengurus gerai oleh pihak tertentu.
“Persaingan jadi tidak seimbang. Beberapa kemalangan turut berlaku membabitkan pemandu warga asing dan keadaan itu meresahkan kami,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Thiam Bee, ada pekerja asing yang menguasai jualan harian, pasar malam dan kegiatan peruncitan sehingga penduduk setempat terpaksa berebut ruang perniagaan.
“Kami berharap tindakan tegas diteruskan kerana kegiatan perekrutan tidak sah itu makin berleluasa, mengancam keselamatan dan ekonomi tempatan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, ada sebilangan pemilik perniagaan tempatan mengambil jalan pintas menggunakan ejen yang bukan daripada Imigresen untuk mendapatkan pekerja warga asing.
Katanya, ejen-ejen berkenaan menjanjikan proses pantas, mudah dan ‘bulan bintang’, sekali gus mendorong peniaga mengambil risiko tanpa menyedari mereka sebenarnya membuka ruang kepada kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Tindakan itu akhirnya merugikan penduduk sendiri kerana lambakan pekerja asing ini menguasai banyak tapak jualan hingga penduduk hilang punca pendapatan,” ujarnya.
Katanya, tindakan tegas akan diteruskan khususnya di kawasan tumpuan pelancong dan sektor pertanian yang dikenal pasti menjadi lokasi lambakan warga asing.
Zakaria berkata, Operasi Gempur bermula pukul 11 pagi hingga 2 petang itu menyaksikan seramai 1,886 individu diperiksa dengan 468 PATI ditahan, terdiri daripada 388 lelaki, 76 wanita serta empat kanak-kanak.
“Data setakat pukul 1.50 tengah hari menunjukkan Myanmar mencatat tangkapan tertinggi 175 individu, diikuti Bangladesh (174), Indonesia (67), Nepal (20), Pakistan (16), India (11) serta masing-masing seorang dari Filipina, Thailand, Sri Lanka, China dan Kemboja,” katanya. – UTUSAN










