Usahawan bumiputera perlu berani tembusi pasaran global, keluar zon selesa

Usahawan bumiputera perlu berani tembusi pasaran global, keluar zon selesa

ASYRAF Wajdi Dusuki
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Usahawan bumiputera khususnya di bawah bimbingan Majlis Amanah Rakyat (Mara) perlu keluar daripada zon selesa dan tidak lagi berpuas hati menjadi ‘jaguh kampung’, sebaliknya berani meneroka pasaran antarabangsa bagi meningkatkan daya saing.

Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, usahawan bumiputera perlu menyedari potensi besar yang menanti di luar negara sekiranya mereka bersedia berubah dan melangkah menjadi pemain industri bertaraf global.

“Mereka banyak menerima manfaat khusus melibatkan semua aspek keperluan untuk bersaing di luar negara. Kita tidak mahu lagi usahawan-usahawan Bumiputera hanya berlegar di dalam negara, sebaliknya kita mahu mereka menjadi pemain global di pentas antarabangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut beliau, Program Gate to Global (GTG) yang dilaksanakan Mara sejak 2017 terbukti berkesan membantu usahawan tempatan menembusi pasaran luar negara.

Setakat Oktober lalu, seramai 132 usahawan Bumiputera yang dilatih Mara berjaya menembusi pasaran antarabangsa dengan nilai jualan keseluruhan mencecah RM632 juta.

“Hari ini sahaja di Shanghai, seramai 16 usahawan telah bersedia menembusi pasaran China. Malah, pada sesi pagi tadi, telah dimeterai memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) dengan tiga syarikat pembeli dari China dengan nilai jualan sebanyak RM55.5 juta,” katanya.

Asyraf turut menzahirkan penghargaan kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) atas sokongan berterusan dalam menyediakan platform dan peluang kepada usahawan Bumiputera untuk memperkenalkan produk mereka ke pasaran global.

Katanya, kerjasama strategik itu membolehkan produk Bumiputera menembusi pasaran antarabangsa di negara seperti Jepun, Dubai, Australia, Jerman dan Switzerland melibatkan pelbagai kategori termasuk produk kesihatan, kecantikan serta makanan dan minuman.

“Pada hari pertama Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Shanghai baru-baru ini, tiga syarikat usahawan bumiputera Mara turut memeterai perjanjian kerjasama dengan pengedar di Shanghai bernilai lebih RM60 juta.

“Bukan mudah untuk menembusi pasaran China yang mempunyai 1.4 bilion penduduk. Syabas kepada Pengerusi Matrade, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan pasukan yang berjaya menganjurkan MIHAS di Shanghai serta mengharumkan nama Malaysia sebagai pavilion terbesar dengan penyertaan 250 usahawan tempatan,” katanya.

Tambah Asyraf, kejayaan tersebut turut menjadi bukti keberkesanan pelaksanaan program Gate-To-Global (GTG) melalui kerjasama erat antara Mara dan Matrade.

“InsyaAllah, Mara dengan kerjasama Matrade akan terus memastikan usahawan bumiputera bukan sahaja berjaya menembusi pasaran dunia, tetapi juga mampu mengekalkan kelestarian serta pertumbuhan perniagaan yang berterusan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN