PUTRAJAYA: UMNO setakat ini belum membuat keputusan untuk menerima kembali bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyertai parti berkenaan.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak parti juga setakat ini belum membincangkan perkara berkenaan.
“Setakat ini belum lagi,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2025 di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengesahkan telah bertemu dengan Khairy pada majlis perkahwinan anak perempuan Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman, baru-baru ini.
“Saya cuma bertemu dengan beliau (Khairy) di majlis perkahwinan itu dan kita tidak membincangkan apa-apa pun. Apa yang terpapar di dalam media itu adalah berita yang ditulis oleh media itu dan saya amat menghormatinya.
“Dan saya tidak mahu menyanggah mana-mana wartawan yang menulis mengenai perkara itu, seperti mana yang pernah disanggah oleh seseorang,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Khairy dijangka menyertai semula UMNO sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, hujung bulan depan dan dikatakan sudah mendapat ‘restu’ daripada pimpinan tertinggi UMNO khususnya Presiden.
Sementara itu, Khairy dilaporkan berkata, beliau meminta diberikan tempoh masa selama beberapa minggu sebelum bersedia menjawab mengenai hasratnya untuk menyertai semula parti berkenaan.
Pada Januari 2023, Khairy dipecat dari UMNO ekoran kelantangannya mengkritik kepimpinan tertinggi parti sepanjang kempen PRU ke-15 lalu. – UTUSAN

								
											








