Tiada tarikh tutup permohonan sertai Rumah Bangsa

Tiada tarikh tutup permohonan sertai Rumah Bangsa

MOHAMED Khaled Nordin pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Projek JanaVeteran BPlant di Ladang Telok Sengat, Kota Tinggi, Johor hari ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: UMNO tidak meletakkan sebarang tempoh masa buat mana-mana individu yang mahu kembali menjadikan parti itu sebagai wadah perjuangan politik mereka melalui inisiatif Rumah Bangsa.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu tidak pernah dibangkitkan termasuklah oleh Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, antara individu nama besar yang telah menghantar surat permohonan termasuklah Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan juga Khairy Jamaluddin.

“Kita memang sudah terima beberapa permohonan. Saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa akan bawa perkara ini dalam mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 17 April depan.

“Berdasarkan kepada kenyataan Presiden, mengambil semangat Ramadan dan Aidilfitri, kita percaya akan ada satu keputusan yang baik, yang positif berhubung inisiatif Rumah Bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Projek JanaVeteran BPlant di Ladang Telok Sengat, Kota Tinggi, di sini hari ini.

Tambah Mohamed Khaled, inisiatif berkenaan tidak hanya menumpukan kepada mana-mana individu yang dikenali ramai, sebaliknya ia memberi peluang kepada semua pihak yang sebelum ini dikenakan tindakan.

“Yang penting ia bukan hanya melibatkan nama besar, tetapi mereka yang telah diambil tindakan di peringkat bahagian. Saya sedang kumpulkan permohonan diterima jadi buat masa ini saya tidak boleh beritahu jumlahnya,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, UMNO sentiasa bersikap terbuka untuk menerima semula mana-mana individu kembali menyertai parti itu termasuklah mereka yang pernah dipecat dan digantung sebelum ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga memberitahu, konsep Rumah Bangsa bermakna pintu sentiasa terbuka untuk mana-mana pemimpin atau individu untuk kembali bersama UMNO semula pada masa depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN