PKR sudah sama seperti BN, PN?

PKR sudah sama seperti BN, PN?

NIK NAZMI NIK AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pemimpin PKR membangkitkan persoalan sama ada parti itu mempunyai pendekatan yang sama seperti pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam menangani kritikan.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, PKR bukan sahaja parti kerajaan tetapi parti Perdana Menteri.
Oleh itu, kata beliau, cara menangani kritikan perlu difikirkan oleh semua semula terutama ketika mendakwa masih memperjuangkan agenda reformasi.

“Adakah kita masih menarik mereka yang sarat dengan idealisme, atau hanya yang bercita-cita memegang kuasa semata-mata?

“Adakah kita lebih gemar mencari alasan melengahkan perubahan atau mencari jalan untuk melaksanakannya sedaya-upaya kita?” soalnya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Bekas Naib Presiden PKR itu berkata, memang mudah untuk orang menyertai PKR ketika berada di puncak kuasa, pelbagai jawatan dan kesenangan boleh ditawarkan.

“Ketika parti ditekan pemerintah, ketika pimpinan parti keluar masuk lokap, ketika habuan cumalah perjuangan idealism, pada ketika inilah mereka yang benar-benar ikhlas datang menghulurkan tangan kepada parti,” katanya.

Dalam pada itu, Nik Nazmi turut mengimbau tarikh penubuhan Parti Keadilan Nasional (PKN) yang genap 27 tahun semalam.

Katanya, PKR terbentuk selepas PKN bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

“Ketika itu PKN hanya mempunyai harapan dan idealisme, sebagai wadah memperjuangkan agenda reformasi dan politik pelbagai kaum. Pada waktu itu, parti derita yang lahir di jalanan.

“Tidak seperti lahirnya parti baharu lain, PKN tidak menarik menteri atau pimpinan kanan kerajaan. Tetapi masyarakat sivil dan rakyat biasa mendokongnya,” katanya.

Tambahnya, beliau ketika itu berada di tingkatan lima teruja dengan perjuangan parti dan dua tahun kemudiannya membantu parti yang dilihat parti nyamuk tanpa masa hadapan.

“Sepanjang lebih 20 tahun parti melawan rasuah, memperjuangkan idealisme keadilan untuk semua dan mendukung prinsip reformasi.

“Parti bertambah kuat, melahirkan ramai wakil rakyat pelbagai kaum dan membentuk kerajaan negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN