KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang menyasarkan kehadiran 15 juta pelancong ke negeri ini sempena penganjuran Tahun Melawat Malaysia (TMM) atau Visit Malaysia 2026 – Pahang First yang bakal menjadi antara kempen pelancongan terbesar di negara ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sasaran itu berdasarkan momentum semasa sektor pelancongan negeri yang terus meningkat hasil promosi dan persediaan awal yang dirangka sejak tahun lalu.
“Alhamdulillah, setakat ini kita mencapai 11 juta pelancong dan sasaran tahun ini ialah 13.74 juta orang. Untuk tahun depan, kita menyasarkan antara 14.5 juta hingga 15 juta pelancong dan saya yakin insya-Allah sasaran ini dapat dicapai menerusi kempen Visit Malaysia 2026 – Pahang First serta pelbagai persediaan yang telah dilakukan,” katanya selepas melancarkan kempen itu di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Ahmad Shah, di sini malam semalam.
Menurut Wan Rosdy, kehadiran pelancong dalam jumlah besar itu dijangka menjana pendapatan keseluruhan RM13.4 bilion kepada ekonomi negeri, sekali gus memberi limpahan manfaat kepada pelbagai pihak.
Katanya, limpahan ekonomi hasil kedatangan pelancong itu bukan sahaja dinikmati kerajaan negeri, malah rasai pengusaha hotel, restoran, kedai makan, inap desa dan penduduk tempatan.
“Perbelanjaan mereka meliputi penginapan, makanan, minyak, pengangkutan, membeli-belah dan aktiviti rekreasi dijangka menyumbang nilai sekitar RM13.4 bilion keseluruhan,” katanya. – UTUSAN










