KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegaskan bahawa sebarang perbuatan yang berpotensi memecahbelahkan perpaduan dan hubungan harmoni antara kaum di negara ini wajib ditentang secara tegas.
Baginda bertitah, usaha menyatupadukan rakyat tidak akan mudah dicapai sekiranya masih wujud segelintir pihak yang memilih untuk mensensasikan isu kaum, agama, negeri dan wilayah.
Titah baginda, tindakan tidak bertanggungjawab itu hanya akan menggugat keharmonian dan menjejaskan hubungan antara kaum ketika negara sepatutnya menumpukan usaha mematangkan kerjasama serta mengukuhkan persefahaman yang dibina pemimpin terdahulu.
“Negara ini jangan dijadikan rumah sengketa, tempat berpesta dalam kalangan insan yang mabuk kuasa.
“Merdeka itu bakal hancur maknanya apabila lidah sebahagian rakyat bersifat lebih bisa daripada anak panah beracun, memilih meracuni fikiran rakyat,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-69 di Istana Iskandariah di sini hari ini.
Baginda bertitah, rakyat diingatkan agar mempertahankan perpaduan yang menjadi teras kekuatan dan kemakmuran negara sejak sekian lama.
Titah baginda, perpaduan yang terbina antara rakyat berbilang kaum, agama dan budaya adalah hasil kebijaksanaan nenek moyang yang berusaha mewujudkan keharmonian bersama.
“Tikar merdeka yang dihamparkan kepada kita ialah hasil tangan anyaman nenek moyang kita secara bersama, secara bijak nenek moyang kita menganyam mengkuang pelbagai warna, disulam menjadi sebidang tikar untuk dijadikan tempat duduk mengalas kehidupan, membolehkan anak cucu melunjur sila di padang damai Malaysia.
“Warga yang patriotik, warga yang berjiwa Malaysia wajib mempertahankan perpaduan yang telah lama teranyam antara kaum yang menganuti pelbagai agama, mewarisi pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.
“Perpaduan ialah asas penting untuk menjamin kelangsungan, kerukunan, kemakmuran dan kemerdekaan negara ini,” ujar baginda.
Sultan Nazrin bertitah, sejarah mencatatkan kemerdekaan negara diperoleh melalui kebijaksanaan diplomasi, kearifan mentafsir isu yang sangat membimbangkan pentadbir kolonial dan persepakatan yang dicapai oleh rakyat pelbagai kaum di bumi ini.
Baginda bertitah, hakikat sejarah tidak boleh dipadam di mana kemerdekaan dan pembangunan negara ini dicapai melalui perjuangan serta usaha bersama rakyat pelbagai kaum dan agama.
“Kemerdekaan bukan sekadar perayaan mengibarkan bendera sambil menyanyikan lagu Jalur Gemilang. Kemerdekaan merupakan lambang maruah bangsa, titik mula sebuah negara berdiri dengan kaki sendiri.
“Kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan tetapi turut memiliki kebebasan minda dan kematangan politik serta kejayaan menumbuhkan ekonomi dan membangunkan negara,” titah baginda.
Baginda bertitah, kepelbagaian kaum, agama, budaya dan bahasa perlu dilihat sebagai rahmat Ilahi, bukan dari sudut negatif yang dipenuhi prasangka.
“Demi kepentingan kelangsungan negara bangsa, gunakan akal kurniaan Ilahi secara bijaksana. Tindak tanduk yang terlalu dipengaruhi emosi, dibimbangi akan membawa kerugian besar.
“Masih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk membela nasib rakyat terutama dalam kalangan mereka yang hidup daif dalam kemiskinan.
“Rakyat tidak harus dijadikan mangsa persengketaan politik yang bagaikan tidak ada penghujungnya, sedangkan negara lebih memerlukan sumber tenaga dan sumber kekayaan ditumpukan kepada kerja-kerja yang lebih produktif,” ujar baginda. – UTUSAN










