Tuntutan MA63 perlu diselesai berasaskan rundingan - PM - Utusan Malaysia

Tuntutan MA63 perlu diselesai berasaskan rundingan – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyelesaian tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dilakukan melalui perbincangan dan rundingan rasional, bukannya dengan pendekatan konfrontasi atau pertelingkahan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan komited menyelesaikan semua tuntutan berkaitan MA63 secara menyeluruh dan berperingkat termasuk menerusi perbincangan dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Sekarang pun kita sedang berbincang. Datuk Seri Fadillah mengetuai jawatankuasa teknikal dan kita adakan mesyuarat bersama. Jika setuju, kita laksanakan.

“Jika belum, kita bincang semula dan undi lagi. Inilah cara kita bekerjasama, bukan untuk ‘berperang’,” katanya ketika berucap pada Program Rancakkan Madani Sabah yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

Anwar berkata, pendekatan berhemah dan berunding merupakan jalan terbaik untuk memastikan hak negeri di bawah MA63 dapat dilaksanakan secara adil dan berpaksikan Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas tuntutan hasil 40 peratus untuk Sabah, Perdana Menteri menyeru semua pihak memahami isu itu secara mendalam sebelum membuat penilaian atau desakan.

“Saya tadi (melawat) Jalan Gaya, dengar jeritan tentang hasil 40 peratus Sabah. Dengarlah dulu, fahami dulu. Memang terkandung dalam MA63, tetapi sejak tiga tahun lalu, Kerajaan Madani sudah membincangkan perkara ini secara teliti,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, kerajaan tidak akan mengetepikan tuntutan Sabah dan Sarawak, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira kemampuan kewangan negara dan keharmonian antara kerajaan negeri serta Persekutuan.

“Kita bukan menolak tuntutan itu, tetapi mahu melaksanakannya dengan cara yang bijaksana, berasaskan undang-undang dan semangat perpaduan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×