SHAH ALAM: Seorang wanita mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengemukakan nilai sebut harga palsu berjumlah RM24,200 berkaitan penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25), pada Mei lalu.
Turut dituduh adalah dua individu berpangkat pegawai kanan yang merupakan suami kepada wanita terbabit dan seorang anggota berpangkat koperal dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kerana disyaki bersubahat.
Tertuduh, Citra Angrini Alam Mappiase dan suaminya, Leftenan Kolonel Shahrul Nizam Shaf’in serta Koperal Mohamad Amir Bakri Che Abdul membuat pengakuan demikian selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka secara berasingan.
Mengikut pertuduhan, Citra Angrini, 36, yang kini hamil lima bulan didakwa memperdaya Ketua Staf Markas Pemerintahan Operasi Udara (MPOU) Subang dengan mengemukakan sebut harga palsu bagi sebuah syarikat bernilai RM24,200 di dalam sistem e-Perolehan MPOU Subang.
Ia seterusnya dengan sengaja mendorong Ketua Staf MPOU itu meluluskan sebuah syarikat lain sebagai pembekal perolehan di LIMA’25.
Pasangan suami isteri itu melakukan kesalahan tersebut di Kota Damansara manakala Mohamad Amir, 32, di MPOU Subang pada 13 Mei lalu.
Kesemua tertuduh dibuat mengikut 417 Kanun Keseksaan, sementara dua pegawai dan anggota TUDM itu turut dituduh di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 kepada Citra Angrini manakala berjumlah RM7,000 kepada Shahrul Nizam dan Mohamad Amir dengan masing-masing bersama seorang penjamin beserta syarat tambahan.
Mahkamah menetapkan 8 Disember depan untuk sebutan semula dan pengurusan kes.










