PETALING JAYA: Tiga daerah di Kedah iaitu Kubang Pasu, Pendang dan Langkawi diramalkan dilanda banjir susulan amaran hujan lebat berterusan (Bahaya) yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) dalam kenyataan berkata, banjir diramalkan berlaku di ketiga-tiga daerah tersebut mulai hari ini sehingga Jumaat ini.
Katanya, antara lokasi dijangka terjejas adalah kawasan rendah yang berada sekitar lima kilometer dari Sungai Bata (Kubang Pasu), Sungai Pendang (Pendang) dan Sungai Melaka (Langkawi).
“Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan.
“Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan banjir,” katanya hari ini.
Berdasarkan amaran di keluarkan itu antara kawasan dijangka dinaiki air di Kubang Pasu adalah membabitkan Kampung Bata, Kampung Kota Giam, Kampung Paya Tok Teh, Kampung Paya Nongmi dan Kampung Tebing.
Di Pendang pula banjir dijangka berlaku di Kampung Hampar, Kampung Suka Mari, Kampung Banggol Kambing, Kampung Seberang Pendang, Kampung Tanjung Raden, Kampung Banggol Besi, Kampung Alor Ali, Kampung Hampar Kanan dan Kampung Sukamari.
Di Langkawi pula, membabitkan Kampung Padang Matsirat, Kampung Bohor Masjid dan Kampung Bubur. – UTUSAN









