Tidak salah rai majlis kahwin bekas pasangan - Bella Astillah - Utusan Malaysia

Tidak salah rai majlis kahwin bekas pasangan – Bella Astillah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Bella Astillah terbuka untuk menghadiri majlis perkahwinan bekas pasangan sekiranya menerima jemputan pada masa akan datang.

Menurut Bella atau Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, kehadirannya ke majlis sedemikian tidak lebih daripada usaha menjaga hubungan baik terutama dengan keluarga bekas pasangan.

“Sebenarnya apabila bercakap tentang jemputan, kita tahu orang akan mendirikan rumah tangga. Asalkan niat kita baik dan mereka juga menjemput dengan niat yang baik. Sebab itu pentingnya menjaga silaturrahim.

“Kalau hubungan saya dengan ahli keluarganya masih baik, pada saya, mengapa tidak? Kita hadir untuk meraikan. Lagipun, kita sudah ‘move on’, jadi tidak salah,” katanya.

Bella berkata demikian ketika mengendalikan segmen 3 Pagi Era dengan topik ‘Kalau Ex Jemput Majlis Kahwin’, semalam.

Namun jelasnya, jika jemputan itu hanya datang daripada bekas pasangan tanpa libatkan ahli keluarga, beliau memilih untuk tidak hadir.

“Kalau hanya dia yang menjemput dan bukan ahli keluarganya, saya rasa tiada keperluan,” ujarnya.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata warganet memuji keterbukaan Bella, malah menyifatkan pelantun suara itu sebagai seorang yang matang dan bijak mengendalikan situasi.

“Setuju dengan Bella, terpulanglah. Ikut hati, jaga jarak dan pilih apa yang selesa,” tulis seorang pengguna.

“Betul, kalau hubungan dengan keluarga bekas suami tidak berapa baik, tidak perlu bazir masa,” komen pengguna lain.

“Saya pun pernah pergi majlis kahwin bekas suami. Kami berpisah secara baik, jadi semuanya okey,” kongsi seorang peminat.

Untuk rekod, Bella pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi Aliff Aziz pada 9 September 2016 sebelum bercerai kali kedua pada 13 Jun 2023. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Ayden, 8, dan Ara, 4. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN