Titah Adendum: Najib sudah tua, keputusan dicepatkan ke 22 Dis.

Titah Adendum Najib: Keputusan dicepatkan 22 Disember

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tajuk laporan ini telah ditukar bagi mengelak salah faham dan memastikan ketepatan dalam pemberitaan.

KUALA LUMPUR: Keputusan kesahan dan pelaksanaan Titah Adedndum yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di rumah sah dan boleh dilaksanakan telah dipercepatkan ke 22 Disember ini.

Perkara itu disahkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan ketika dihubungi media selepas pengurusan kes itu yang dijalankan secara dalam talian di hadapab Hakim Alice Loke Yee Ching.

Semalam, Hakim Yee Ching menetapkan 5 Januari 2026 untuk keputusan permohonan semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum itu.

Menurut surat firma guaman, Shafee & Co., pihaknya telah mendapat arahan daripada bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk memohon pertimbangan Mahkamah untuk mempercepatkan tarikh keputusan kerana kes itu telah berlanjutan terlalu lama.

“Anak guam kami merupakan seorang lelaki berusia 72 tahun yang telah berada dalam tahanan hampir dua tahun sejak Titah Adendum dikeluarkan, yang jelas menunjukkan bahawa beliau perlu menjalani baki pemenjaraan di rumah.

“Sebaliknya, beliau terus ditahan di penjara sehingga hari ini disebabkan prosiding yang masih berjalan sehingga sekarang. Bagi setiap hari yang beliau ditahan di penjara merupakan satu hari kebebasan yang tidak dapat diganti.

“Penafian ini bertentangan dengan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi bukan sahaja kebebasan fizikal tetapi juga maruah dan keselamatan individu.

“Tahanan yang berpanjangan ini telah menyebabkan tekanan yang amat besar, trauma, serta kemerosotan ketara terhadap kesejahteraan emosi dan keseluruhan diri Najib,”ujar surat terbabit.

Secara keseluruhan, Najib telah berada dalam tahanan di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.

Pada 1 April 2024, Najib memfailkan semakan kehakiman antara lain mendakwa selain perintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda, terdapat perintah tambahan yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada ‘tahanan di rumah’ dan bukannya di Penjara Kajang.

Pada 13 Ogos lalu, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim memutuskan bahawa Titah Adendum wujud namun sama ada perintah tambahan itu sah atau benar (valid and true) perlu diputuskan di peringkat Mahkamah Tinggi.

Semalam, Shamsul yang mewakili kerajaan menyatakan bahawa Titah Adendum tersebut tidak boleh dilaksanakan kerana ia tidak pernah dibincangkan dibincangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Januari 2024.

“Perintah (Titah) Addendum tidak dikeluarkan mengikut kerangka prosedur yang betul seperti yang ditetapkan di bawah Perkara 42(1) dibaca bersama Perkara 42(8) dan Perkara 42(9) Perlembagaan Persekutuan (berkaitan kuasa pengampunan). Oleh itu, Perintah Addendum tersebut tidak boleh dikuatkuasakan dari segi undang-undang,”katanya.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Ahli parlimen Pekan itu menyatakan, pihaknya telah berjaya membuktikan melebihi segalanya bahawa Titah Adendum itu wujud dan sah. Bagaimanapun, sehingga hari ini, ia tidak pernah dilaksanakan.

“Sudah lebih setahun (sejak Titah Adendum itu dikeluarkan), dan ia masih tidak dikuatkuasakan. Anak guam saya sepatutnya berada di bawah tahanan rumah sekarang. Keadilan sudah selesai, kini yang tinggal hanyalah belas kasihan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN