KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan menafikan dakwaan yang tersebar mengatakan dirinya mengabaikan rakyat di kawasannya yang terjejas banjir semalam kerana sempat berkaraoke di Sabah.
Sani berkata, tuduhan itu tular di media sosial seperti TikTok dan Facebook, mendakwa beliau berada di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan, Semporna untuk menyokong kempen calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan sempat berkaraoke.
“Memang benar saya berada di Sulabayan pada 20 November bagi membantu kempen calon AMANAH dan Pakatan Harapan.
“Saya hanya menyanyi satu lagu Jamal Abdillah atas permintaan masyarakat di hadapan pengundi. Saya tidak menyanyi dengan sesiapa pada waktu tengah malam atau awal pagi.
“Banjir berlaku pada 24 November, jadi saya segera pulang. Semalam saya terbang ke Kuala Lumpur dan tiba di KLIA jam 1.30 tengah hari, terus balik rumah, tukar pakaian, dan masuk Parlimen,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Rakyat hari ini.
Sany berkata, sejak malam tadi, dia telah meninjau kawasan yang terjejas banjir dan melawat dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Batu 10 dan Kampung Sungai Serai.
“Pagi tadi saya juga menziarahi pelajar SPM. Dalam hal ini, kita tidak mahu politik dimainkan. Cukuplah. Saya maafkan mereka yang menabur fitnah, asalkan tidak diulang lagi,” katanya.
Sany turut menyeru semua pihak untuk berganding bahu membantu rakyat yang terkesan akibat banjir dan mendoakan keselamatan mereka.
“Kerajaan telah meluluskan hampir RM512 juta untuk projek tebatan banjir Sungai Langat dan saya berharap ia dapat disegerakan demi kebaikan penduduk Hulu Langat yang kerap terjejas banjir,” tambahnya. – UTUSAN










